KUALA LUMPUR – Balai Seni Negara bakal menganjurkan Program Hari Terbuka Pustaka Imaginasi 2026 pada 22 Ogos 2026 (Sabtu), dari 9 pagi hingga 5 petang bagi memperkenalkan Pustaka Imaginasi sebagai pusat rujukan dan pengumpulan data pelukis serta sumber berkaitan seni visual.
Program ini juga menggalakkan budaya membaca, memperluas pengetahuan serta merangsang pemikiran kritis dan kreativiti masyarakat.
Sepanjang penganjuran program ini, pelbagai pengisian berkaitan seni, pembacaan dan kreativiti, antaranya Pertandingan Bercerita, Pertandingan Deklamasi Puisi dan Sembang Santai Buku, selain ruang jualan dan pameran untuk pengunjung.
Pertandingan Bercerita menggunakan karya seni daripada Koleksi Tetap Balai Seni Negara sebagai asas penceritaan, dengan peserta membina cerita berdasarkan imaginasi, emosi, watak atau mesej daripada karya yang ditetapkan.
Pertandingan ini terbuka kepada kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun dan dibahagikan kepada Tahap 1 (7–9 tahun) dan Tahap 2 (10–12 tahun).
Sebanyak 20 karya dipilih sebagai rujukan, terdiri daripada 12 karya daripada Pameran Perolehan Terkini: Recent Acquisition di Galeri 2A dan lapan karya daripada Pameran Cinta Buatan Malaysia 79-89 di Galeri Tun Razak.
Pemilihan karya ini memberi peluang kepada peserta meneroka seni melalui penceritaan serta mengembangkan imaginasi dan kreativiti berdasarkan tafsiran masing-masing.
Pertandingan Deklamasi Puisi terbuka kepada peserta berumur 13 tahun ke atas dengan tema “Seni, Imaginasi dan Kemanusiaan”. Peserta dikehendaki memilih dan mendeklamasikan puisi daripada penerbitan Koleksi Puisi: 55 Koleksi 55 Penulis 55 Puisi terbitan Balai Seni Negara.
Sementara itu, Sembang Santai Buku memberi tumpuan kepada buku sebagai sumber ilmu, inspirasi dan rujukan dalam memperkaya apresiasi seni, sejarah dan budaya.
Sesi ini menampilkan kupasan novel Hidup Berjuang karya Mohamed Salehuddin yang merakam pengalaman masyarakat ketika zaman Perang Dunia Kedua, di samping mengetengahkan hubungan antara karya sastera, sejarah dan pemikiran kreatif.
Sepanjang program, pengunjung turut berpeluang mendapatkan perkhidmatan pendaftaran dan kemas kini biodata artis, pendaftaran keahlian NAG Friends serta khidmat nasihat mengenai Tabung Bantuan Seni (TBS), selain mengunjungi reruai
jualan yang disediakan.
Melalui penganjuran ini, Balai Seni Negara terus memperkukuh peranan Pustaka Imaginasi sebagai pusat rujukan dan pembelajaran seni visual yang menyediakan akses kepada sumber ilmu, di samping membuka peluang kepada masyarakat,
khususnya generasi muda, untuk mengembangkan pengetahuan, kreativiti dan apresiasi terhadap seni. – MalaysiaGazette
















