Lagenda bola sepak Machester United, (dari kiri) Denis Irwin, Dwight Yorke dan David May pada program Meet Manchester United Lagends ke Aladdin Group di Menara MBMR, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 09 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Manchester United mampu menjulang Liga Juara-Juara Eropah musim ini walaupun peluang merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris sudah tertutup kali ini.

Tiga legenda the Red Devils, Denis Irwin, David May dan Dwight Yorke bagaimanapun belum dapat menentukan secara tepat peluang skuad Jose Mourinho dalam Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah minggu hadapan.

Mereka menganggap aksi menentang musuh tradisinya Liverpool pada malam esok merupakan perlawanan wajib menang.

David May ditanya mengenai peluang skuad Jose Mourinho di pentas Eropah, pemenang tribel 1999 itu berkata: “Saya tidak pasti, tetapi saya harap kita menang ke atas Sevilla dalam perlawanan timbal balik.

“Kelebihan Man United beraksi di tempat sendiri akan memastikan kemaraan ke Suku Akhir saingan Liga Juara Juara Eropah nanti,

“Namun saya dapat lihat kita dalam kedudukan terbaik ke arah itu (juara Eropah) dan jika tuah tribel 1999 menyebelahi kita, kenapa tidak kali ini (julang Piala Juara Eropah),” katanya dalam sesi Meet The Legends di ibu negara hari ini.

Ketiga-tiga bekas pemain MU itu yang merupakan rakan kongsi Global Aladdin Group dijemput khas untuk program Meet The Legends sempena parti “#I Love United” pertama bersama peminat bola sepak kelab itu di negara ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perlawanan esok bertemu Liverpool, Dwight Yorke berkata, skuad Mourinho berada dalam posisi terbaik untuk mengutip tiga mata penuh di Old Trafford.

“Kita menang 2-1 menentang Chelsea dua minggu lalu manakala bangkit menang 3-2 selepas ketinggalan 2-0 menentang Crystal Palace pada Selasa lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Denis Irwi pula mengakui kedua-dua pasukannya sama kuat dari aspek serangan di hadapan.

“Cuma Man United perlu bermain secara menyerang dan mencari gol awal dan sudah pasti skuad Mourinho menang 2-1,” tegasnya lagi.

Ketiga-tiga legenda Man United itu akan berada di Pusat membeli belah Berjaya Times Square pukul 6 petang esok bersama lebih 3,000 penyokong die hard Man United dalam parti bola tontonan secara langsung aksi EPL Manchester United lawan Liverpool. – MalaysiaGazette.