Warga UMT meraikan sambutan Aidilfitri yang berkonsep Madani untuk tahun ini. - Ihsan Foto: Media Kreatif UMT

KUALA TERENGGANU – Sambutan Aidilfitri Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang menerapkan nilai Malaysia Madani pada tahun ini menunjukkan kelainan berbanding dengan sebelumnya.

Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, sambutan kali ini mengangkat nilai keharmonian untuk menyokong konsep Madani yang diasaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami telah mengagihkan sumbangan duit raya kepada lebih 70 orang anak yatim yang terpilih dari sekolah-sekolah sekitar UMT serta Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin.

“Alhamdulillah, kesungguhan warga UMT menjayakan sambutan hari raya yang penuh kesederhanaan pada tahun ini tetap meriah dan harmoni dengan penglibatan warga universiti walaupun berlainan bangsa dan agama,” katanya.

Sambutan hari raya yang bertemakan “Raya di Kampung” itu merupakan hasil kreativiti warga UMT mengamalkan konsep 3R (Reuse, Reduce, Recycle) untuk mengurangkan impak pencemaran alam sekitar.

Majlis itu turut diserikan dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan poster raya antara Pusat Tanggungjawab (PTj), pertandingan gerai berhias, pakaian tercantik dan banyak lagi aktiviti menarik disediakan. – MalaysiaGazette