Ketua Setiausaha Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Hamdan Mohd Salleh (tengah) menunjukkan kenyataan media sebelum membuat laporan polis berkaitan INVOKE Malaysia pusat kaji selidik yang mendapat data-data haram di Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 04 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Selepas Pemuda UMNO, hari ini Jaringan Melayu Malaysia (JMM) pula membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung tindakan pusat kaji selidik propembangkang, Invoke Malaysia yang didakwa telah menceroboh lebih 15 juta data peribadi rakyat negara ini.

Aduan itu dibuat oleh Setiausaha JMM, Hamdan Mohd. Salleh di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini.

Beliau berkata, Invoke Malaysia yang diterajui Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli juga dicurigai tindakannya ketika melakukan soal selidik kepada pemanggil dengan bertanyakan soalan politik dan sokongan kepada parti pilihan.

“Kajian yang Invoke Malaysia perolehi daripada panggilan telefon jelas menunjukkan mereka memiliki data yang tidak ketahui sumbernya.

“Ini adalah ancaman kepada pemilik data yang sepatutnya adalah sulit dan peribadi. Jadi dari mana Invoke Malaysia mendapat data peribadi ini?

“Jadi JMM menggesa pihak berkuasa menyiasat dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi menangani isu ini,” katanya pada sidang media sebelum membuat laporan polis.

Hamdan turut mendakwa, JMM menerusi sumbernya meragui dana yang diperolehi Invoke Malaysia yang kemungkinan dari pihak asing.

Jelas beliau, siasatan juga perlu dilakukan kerana dikhuatiri bertujuan menjatuhkan kerajaan dengan bantuan negara luar.

“JMM akan terus membuat susulan tentang tindak-tanduk Invoke Malaysia dan membawa isu ini kepada pihak berkuasa.

“Ancaman yang dibuat Invoke Malaysia ini perlu dibendung kerana boleh mempengaruhi pemikiran rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette