Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (dua kanan) beramah mesra dengan tenaga pengajar semasa Lawatan Kerja Ke Kolej Komuniti Jelebu, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 22 MAC 2018.

ENAM Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan bakal menjadi penentu kemenangan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14.

Walaupun BN berada dalam keadaan selesa di 16 DUN namun kedudukan semasa di tanah adat itu agak sengit antara BN dan PH.

Potensi kemenangan kedua-dua pihak itu seimbang.

Bagaimanapun, PH berkeupayaan mempertahankan 14 DUN yang dimenangi pada PRU-13 lalu yang dianggap sebagai kawasan putih bagi pakatan pembangkang.

Antara enam DUN bakal penentu kemenangan ialah Ampangan dengan majoriti 89 undi, Pilah (113), Klawang (282), Labu (1,511), Paroi (2,184) dan Linggi (3,260).

Mungkin pemimpin utama BN, Datuk Seri Mohamad Hassan ada formula membawa kemenangan di Negeri Sembilan.

Baru-baru ini, beliau hanya menganggap dakwaan pembangkang mahu merampas Negeri Sembilan sekadar strategi perang yang dialun saban tahun.

Menurut penganalisis politik,  Mustafa Kamal Abdul Rahman sekiranya berlaku fenomena undi Melayu meningkat sehingga 55 peratus kepada PH selian sokongan Cina (85) peratus kemungkinan besar PH boleh ‘menumbangkan’ BN.

Sekiranya peluang itu berpihak kepada pakatan pembangkang, ia bermakna kemenangan pertama kali pembangkang menumbangkan BN di Negeri Sembilan.

“Beberapa kaji selidik menyebut bahawa kedudukan status quo dengan BN kekal menjadi pemerintah tetapi dengan majoriti mudah.

“Adalah tidak mustahil PH menambah kerusi khusus DUN-DUN yang dimenangi BN dengan undi marginal seperti Ampangan, Pilah dan Klawang.

“Jika keadaan itu terjadi, BN bakal menjadi pemerintah dengan majoriti mudah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau juga berkata, faktor kerusi-kerusi yang berada dalam Parlimen dimenangi oleh PH seperti Labu (Parlimen Rasah), Ampangan (Parlimen Seremban) dan Linggi (Telok Kemang) juga tidak mustahil boleh bertukar tangan kepada PH. – MlaysiaGazette.