Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali bercakap pada sidang media khas sempena PRU-14 di Ibu Pejabat PERKASA, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 APRIL 2018
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Malaysia, Datuk Dr Ibrahim Ali hari ini mengumumkan akan bertanding sebagai calon rakyat di kerusi Parlimen Pasir Mas dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Bercakap kepada pemberita dalam sidang media pengumuman khas di pejabat Perkasa di sini, Dr Ibrahim berkata, beliau membuat keputusan untuk bertanding kerana politik adalah darah dagingnya.

“Janji saya sebelum ini akan buat pendirian mengenai politik terutama PRU14 selepas beberapa hari Dewan Rakyat (Parlimen) dibubarkan.

“Hari ini saya hendak nyata dengan rasmi, saya akan bertanding di Pasir Mas (Parlimen) dan DUN Tendong sebagai calon rakyat,” katanya.

Ditanya apa sebab beliau masih mahu bertanding, Dr Ibrahim yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas memberitahu, ada dua sebab beliau masuk bertanding, pertama, kerana hendak meneruskan perjuangan yang digalas sekarang dan kedua, sokongan rakyat begitu kuat kepadanya.

Katanya, beliau juga melihat keadaan politik di Kelantan menawarkan harapan cerah untuknya menang dengan majoriti besar.

“Kenapa? Sebab ada tiga saingan politik sekarang ini iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Pas,” katanya.

Mengenai ura-ura sebelum ini beliau akan bertanding di kerusi Rantau Panjang, katanya, Parlimen Pasir Mas dan Rantau Panjang tidak ada bezanya kerana masing-masing terletak dalam satu daerah, di bawah Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM).

Bagaimanapun, ujar Ibrahim, memandangkan Rantau Panjang adalah jiran, dan selepas melakukan tinjauan serta mendapatkan pandangan rakyat di dua Parlimen berkenaan, beliau membuat keputusan untuk bertanding di Parlimen Pasir Mas.

“Saya buat keputusan tanding di Pasir Mas kerana dua kawasan ini tidak ada bezanya. Cuma Pasir Mas ini tempat saya yang lama dan ramai pengundi merayu supaya saya tidak tinggal Pasir Mas dan terus kekal di sini.

“Saya harap rakyat Pasir Mas buat keputusan bijak memilih wakil rakyat dan memberi peluang kepada saya untuk masuk semula ke Dewan Rakyat untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara serta nasib rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette