makanan
Arkib: Makanan. foto AFFAN FAUZI, 6 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR- Inflasi Malaysia yang diukur menggunakan Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat sebanyak 1.4 peratus pada April 2018 berbanding tahun sebelumnya dengan harga makanan dan minuman bukan beralkohol lebih mahal di samping perbelanjaan lebih tinggi di restoran hotel.

Ketua Perangkawan, Jabatan Statistik, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kumpulan-kumpulan utama IHP mencatatkan peningkatan termasuk dalam segmen kesihatan dan pendidikan.

“Antara kumpulan-kumpulan utama yang mencatatkan peningkatan adalah indeks makanan dan minuman tidak beralkohol (+2.6 peratus), restoran dan hotel (+2.2 peratus), kesihatan (+2.1 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.0 peratus), perabot, peralatan rumah dan rutin penyelenggaraan isi rumah (+1.8 peratus) dan pendidikan (+1.1 peratus)”, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jelas beliau, keseluruhan indeks terjejas akibat peningkatan sebanyak 0.4 peratus dalam kumpulan pengangkutan pada April 2018 berbanding 1.5 peratus penurunan yang direkodkan pada Mac 2018.

Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari-April meningkat sebanyak 1.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pada Mac 2018, IHP meningkat sebanyak 1.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.-MalaysiaGazette