Wang tunai yang hancur dalam mesin ATM yang rosak, dipercayai angkara tikus. foto Agensi

NEW DELHI – Sekumpulan juruteknik yang tiba untuk membaiki mesin ATM yang tidak berfungsi di Assam, India terkejut apabila mendapati wang kertas berjumlah lebih 1.2 juta rupee (AS$17,600) hancur.

Ia dipercayai angkara tikus-tikus yang memasuki mesin berkenaan melalui lubang pendawaian.

Gambar-gambar wang yang hancur di mesin tunai State Bank of India di Tinsukia, India menjadi tular selepas dikongsi melalui Twitter.

Malah, gambar tersebut turut menunjukkan seekor tikus yang sudah mati berada di atas longgokan wang kertas yang hancur.

Pegawai polis, Prakash Sonowal berkata, mesin tunai berkenaan sudah 12 hari tidak berfungsi.

Juruteknik bank itu mendapati wang kertas denominasi 2,000 dan 500 rupee telah musnah.

Mereka hanya berjaya menyelamatkan baki 1.7 juta rupee sahaja. – MalaysiaGazette