Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad (kanan) tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan pengunjung pada Majlis Perasmian Pesta Durian Vaganza di Taman Ekuestrian, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 21 JULAI 2018.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad (kanan) tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan pengunjung pada Majlis Perasmian Pesta Durian Vaganza di Taman Ekuestrian, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 21 JULAI 2018.

PUTRAJAYA – Majlis Menteri Wilayah ditubuhkan bagi memberi ruang penyertaan ahli-ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan dalam perancangan dan pembangunan Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, selama ini segala perancangan dasar serta infrastruktur pembangunan ibu negara dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Struktur penubuhan pentadbiran memang beroperasi sebegitu selama ini sehingga ahli-ahli Parlimen tak diberi ruang menyumbang kepada perancangan dan terhad sekadar Datuk Bandar dan Ketua Pengarah sahaja.

“Untuk memberikan peranan dan mengatasi masalah itu, maka saya menubuhkan mesyuarat Majlis Menteri yang mempunyai kuasa tinggi dari DBKL,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Vaganza Durian anjuran Taman Ekuestrian Putrajaya di sini.

Khalid berkata, selepas ini apa sahaja perancangan yang ingin dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan itu perlu melibatkan rundingan dengn ahli-ahli Parlimen terbabit.

Ujar beliau, kewujudan struktur baharu itu dapat memastikan ketelusan dan kerjasama rapat antara DBKL, wakil rakyat dan kementerian dalam pelaksanaan pembangunan ibu negara.

Kata beliau, majlis itu akan bermesyuarat setiap dua bulan atau bersidang atas permintaan tiga ahli Parlimen Wilayah Persekutuan.

Katanya, sebelum ini kerajaan Barisan Nasional idak memberi ruang kepada ahli Parlimen pembangkang dan hanya diberi perhatian apabila terdapat aduan daripada mana-mana wakil rakyat sesuatu kawasan.

“Dengan cara Majlis Menteri, mereka akan terlibat dalam soal pembangunan Kuala Lumpur selepas 2020, perbincangan mengenai Bajet tahunan dan melibatkan semua program yang disediakan DBKL dalam kawasan wakil rakyat masing-masing.

“Selain itu, DBKL juga dalam soal pembangunan memerlukan bantuan ahli Parlimen yang mempunyai sokongan di peringkat akar umbi dan sebarang isu dan perancangan DBKL mudah dibawa ahli Parlimen kepada rakyat menerusi kerjasama dua hala.

“Dulu kalau DBKL buat program ahli Parlimen tidak dijemput manakala DBKL tidak mengambil tahu program komuniti wakil rakyat, selepas ini situasi itu tidak akan wujud,” tegas beliau. – MalaysiaGazette