Shahrum Baba, 50, dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah mengacu pisau kepada seorang warga emas, bulan lalu.

MELAKA – Padah mengacu pisau terhadap seorang warga emas, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu bulan lalu.

Tertuduh, Shahrum Baba, 50, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nabilah Nizam selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat mendatangkan ketakutan dan kegusaran kepada Sama Osman, 75, dengan mengacukan pisau pemotong daging.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.

Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah mangsa tanpa kebenaran yang boleh dipenjara selama tiga tahun atau denda atau keduanya sekali jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3.45 petang 27 Disember lalu di Batu 7, 1/2 Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman berbentuk penjara yang minimum.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 27 Disember lalu. – MalaysiaGazette