Baru Bian
Baru Bian

KUCHING – Kerajaan Persekutuan akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk kemajuan rakyat Sarawak, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Beliau berkata terdapat banyak kerja yang perlu dilakukan dan melalui kerja keras dan bukti melalui contoh, mesej perubahan untuk yang lebih baik pastinya akan menyebar terus ke seluruh negeri.

“Di Sarawak, kita dapati keadaan luar biasa, dengan kerajaan negeri berada di pihak pembangkang kepada kerajaan Persekutuan.

“Kita mesti bijak dan bekerja lebih keras untuk membina Sarawak dan Malaysia agar lebih kuat, lebih sihat dan makmur,” kata Baru Bian, yang juga pengerusi PKR Sarawak, dalam ucapan Tahun Baharu Cina di sini hari ini.

Beliau berkata, tahun ini akan membawa lebih banyak cabaran kepada kerajaan baharu Pakatan Rakyat dalam usaha penambahbaikan terhadap pentadbiran negara.

“Marilah kita memaparkan cita-cita untuk membina negara dan memupuk perpaduan di kalangan rakyat negara ini,” katanya dan menambah terdapat pihak tertentu yang cuba menjejaskan kestabilan kerajaan negara ini dengan menimbulkan perpecahan, katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia harus meneruskan tradisi kunjung mengunjung antara satu sama lain dan meraikan perayaan ini bersama jiran serta rakan-rakan.

“Pakatan Harapan akan sentiasa berpendirian bahawa kita sebagai masyarakat yang beragama boleh bersatu untuk memilih Malaysia yang bersatu padu,” katanya. – Bernama