Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Tiada rakyat Malaysia terbabit atau terjejas dalam gempa bumi yang melanda Provinsi Gansu dan Qinghai di barat laut China pada Isnin lalu.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan, mengesahkan pihaknya akan terus memantau rapat perkembangan bencana itu melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Xi’an.

“Malaysia merakamkan simpati dan takziah kepada rakyat dan Kerajaan Republik Rakyat China serta mangsa dan keluarga yang terjejas akibat gempa bumi itu,” katanya.

Gempa bumi berukuran 6.2 magnitud pada jam 11.59 malam Isnin lalu menjejaskan Provinsi Gansu dan Qinghai.

Menurut pihak berkuasa tempatan, kira-kira 105 orang maut dan 397 lagi cedera di Gansu, manakala 11 lagi dilaporkan terkorban di Qinghai.

Lebih 4,700 rumah rosak dan beberapa kampung mengalami gangguan bekalan elektrik, bekalan air, pengangkutan serta komunikasi.

Rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta nasihat pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia di kawasan terjejas yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Xi’an melalui talian berikut: Konsulat Jeneral Malaysia di Xi’an – Telefon/Faks: +8629-8956 8478 / +86 186 2968 1928 (selepas waktu bekerja) atau e-mel: . – BERNAMA