Sebaik sahaja keputusan rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ditolak ada pemimpin PKR hari ini terus mempertikaikannya di luar Istana Kehakiman Putrajaya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution berkata, kesemua asas pihak peguam Anwar untuk memohon mahkamah menyemak semula kes itu tidak diterima oleh hakim.

Beliau kemudiannya berucap kepada penyokong PKR di luar Istana Kehakiman memberitahu hatinya ‘pedih’ mendengar keputusan mahkamah.

Berdasarkan video sebuah portal, Saifudin menegaskan kuasa rakyat sahaja dapat membebaskan Anwar dan beranggapan bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak layak dipenjarakan.

“Kita sudah lalui episod ini sejak tahun 1998 hingga 1999, kita banyak kalah daripada menang. Saya nak ingatkan UMNO dan sang penguasa bahawa kuasa sebenar dalam demokrasi ini ialah kuasa rakyat, kuasa rakyat ini kuasa keramat,” ujarnya.

Beliau juga memaklumkan isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berlinangan air mata dan anak-anaknya berlinangan air mata mendengar keputusan mahkamah.

Keputusan itu menjadikan Anwar akan terus dipenjara sehingga tahun 2018.

Lima panel hakim diketuai Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan tidak berlaku keputusan berat sebelah atau tidak adil dibuat panel sebelum ini.

Bagaimanapun, Anwar dilaporkan masih belum berputus asa dan peguamnya akan mencari jalan daripada aspek perundangan pada masa depan.

Kelmarin, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata sekiranya Anwar kalah dalam kes rayuannya hanya ada satu cara untuk membebaskannya iaitu melalui pengampunan diraja.

Malah belum pun PRU-14, Ahli Parlimen Pandan itu ‘membayangkan’ jika pembangkang memerintah dan selepas itu pengampunan diterima, Anwar akan bebas dalam masa dua hari.

Selepas itu, dalam masa dua minggu, seorang wakil rakyat PKR di kawasan kubu kuat parti itu akan ‘mengosongkan’ kerusi Parlimen bagi diadakan pilihanraya kecil seterusnya ‘menobatkan’ Anwar sebagai Perdana Menteri.–MalaysiaGazette

Hukuman Anwar kekal