Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengenepikan sabitan dan hukuman lima tahun penjara atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Panel lima hakim yang terdiri daripada Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin mempengerusikan lima barisan hakim terdiri daripada Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim sebulat suara membuat keputusan tersebut.
Dengan keputusan mahkamah yang bersidang pukul 10 pagi itu, Anwar yang juga bekas Ketua Pembangkang terpaksa menjalani baki dari lima tahun penjara yang dijatuhkan sebelum ini.
“Artikel 128 Perlembagaan Persekutuan tidak menyediakan mahkamah iaitu Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat semakan atau keputusan yang pernah dibuat sebelum ini dalam kes ini.

“Selain itu permohonan Anwar tidak mempunyai merit,” katanya ketika membacakan keputusan penghakimannya sekitar sejam pagi tadi.

Isteri Anwar yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang kelihatan sedih enggan mengulas apa-apa berhubung keputusan itu ketika ditemui di lobi mahkamah.

Pada 12 Oktober lalu, Mahkamah Persekutuan telah mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai usaha akhir mengikut saluran perundangan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman lima tahun penjara ke atasnya.

Ketua Perbicaraan Dan Bahagian Rayuan, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid mengetuai pasukan pendakwaan dengan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Zhafran Rahim Hamzah.

Anwar, 68, diwakili peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, Sangeet Kaur Deo, N Surendran, Latheefa Koya, R. Sivarasa, J.Leela dan Shahid Adli Kamaruddin.

Sebelum ini, Anwar memfailkan permohonan semakan agar Mahkamah Persekutuan mengguna pakai Aturan 137, Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 dan membuat semakan terhadap keputusan panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Secara alternatif, beliau mahu Mahkamah Persekutuan untuk mendengar semula rayuannya berhubung merit.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhi Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014.

Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi membebas dan melepaskan Anwar daripada pertuduhan itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Anwar telah disabitkan kesalahan selepas mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria pada 10 Februari tahun lalu, menolak rayuan Anwar agar dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara kerana meliwat Mohd. Saiful lapan tahun lalu.

Anwar didakwa melakukan kesalahan itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. – MalaysiaGazette

Comments are closed.