KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan tidak membeli atau menggunakan produk-produk di bawah nama Creative Health Resources (CHR) iaitu Creative Herbs dan Creative Health Resources (CHR) Creative Nutrition.

Ini kerana sampel produk-produk tersebut telah dicampur dengan dexamethasone (sejenis kortikosteroid) dan chlorpheniramine (sejenis antihistamin) yang dikawal di bawah Akta Racun 1952.

chr1

Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dalam kenyataan berkata,
label pada kedua-duanya menyatakan produk-produk ini digunakan secara tradisional untuk kesihatan umum dan untuk menguatkan badan.

Katanya, semakan lanjut mengesahkan bahawa kedua-dua produk tersebut adalah tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan merupakan produk yang perlu berdaftar.

“NPRA telah menerima sebanyak dua laporan kesan advers yang melibatkan produk CHR Creative Herbs dan tiga laporan kesan advers yang melibatkan produk CHR Creative Nutrition.

“Antara kesan advers yang dilaporkan adalah peningkatan berat badan, kembung perut, muka membulat (moon face) dan kelemahan fungsi kelenjar adrenal yang boleh menyebabkan masalah lain seperti tekanan darah dan paras gula dalam darah yang tidak terkawal,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dexamethasone adalah sejenis kortikosteroid yang digunakan untuk rawatan masalah pembengkakkan dan radang yang serius.

Penggunaan dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang boleh membahayakan kesihatan seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi, katarak, peningkatan risiko jangkitan dan sindrom cushing.

Pesakit yang menghidap kencing manis adalah berisiko tinggi kerana ia boleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak terkawal dan seterusnya boleh mengakibatkan komplikasi yang serius.

Chlorpheniramine adalah sejenis antihistamin yang digunakan untuk melegakan selesema serta reaksi alahan seperti ruam.

Kesan sampingan chlorpheniramine termasuk mengantuk, penglihatan kabur, muntah-muntah, sembelit dan kelemahan koordinasi anggota badan.

NPRA berkata, sesiapa yang mempunyai stok produk-produk ini dinasihatkan untuk menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta.

Penjual diingatkan bahawa pemilikan untuk jualan produk-produk ini adalah melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Sementara itu, orang ramai yang sedang menggunakan produk-produk ini disarankan supaya segera mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan.

Pengguna yang telah mengambil produk ini untuk jangka masa yang lama dinasihatkan supaya tidak memberhentikan penggunaannya secara mendadak kerana ini boleh menyebabkan masalah seperti kekeliruan dan penurunan tekanan darah yang boleh membahayakan kesihatan (akibat withdrawal syndrome).

Orang awam digesa supaya tidak membeli atau menggunakan produk tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kerana tidak dijamin kualiti dan keselamatannya.

Mereka juga diminta supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah tertipu dengan ubat-ubatan tradisional yang dijual dengan tuntutan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit terutamanya produk tradisional yang memberi kesan dengan cepat.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai produk-produk tidak berdaftar ini dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat tersebut kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan ATAU melaui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras pengedaran produk-produk ini di pasaran.

Katanya, orang ramai boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my/ ATAU dengan menghubungi NPRA di talian 03-78835400. – MalaysiaGazette