Home Nasional Myanmar setuju bincang isu Rohingya

Myanmar setuju bincang isu Rohingya

Menteri-Menteri Luar ASEAN yang akan menghadiri sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar di Myanmar Isnin ini akan
mencari jalan penyelesaian yang adil, cepat dan kukuh dalam menangani isu Rohingya di utara Rakhine.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Aung San Suu Kyi telah berjanji akan memaklumkan kepada
Menteri-Menteri Luar ASEAN mengenai perkembangan terkini situasi di wilayah itu.

Menurut beliau, inisiatif-inisiatif inilah yang Kerajaan Malaysia telah usahakan sejak beberapa minggu yang lalu – suatu kesedaran terhadap masalah yang dihadapi dan pentingya pertemuan para menteri untuk bersama-sama menyelesaikan masalah tersebut.

Walaupun ini hanyalah langkah yang pertama dalam menyelesaikan masalah tersebut tetapi ia suatu langkah positif dan tepat.

Anifah berkata, pada 27 November 2016, beliau mencadangkan supaya Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN diadakan bagi membincangkan situasi ini kerana keadaan yang berlaku membimbangkan.

Bahkan, situasi kemanusiaan yang meruncing di wilayah tersebut juga implikasi krisis ini kepada ASEAN.

Myanmar pada mulanya menolak permintaan Malaysia tetapi disebabkan tekanan daripada masyarakat antarabangsa,
begitu juga dengan Malaysia, mesyuarat ini akhirnya telah dapat direalisasikan, tambah beliau.

Mesyuarat 19 Disember ini akan memberi peluang kepada Malaysia untuk menyatakan pendirian negara mengenai situasi
ini.

“Saya berharap dapat menggunakan peluang ini sepenuhnya untuk menekankan bahawa Malaysia sentiasa mengecam
keganasan yang berterusan di Rakhine sejak kejadian 9 Oktober 2016.

“Kehilangan nyawa dan penyingkiran orang daripada kawasan tersebut (displacement of people) tidak boleh diterima.
Malaysia akan terus bertegas agar semua pihak yang terlibat dapat mengelak daripada mengambil tindakan yang boleh
memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Sebagai salah sebuah negara pengasas ASEAN, Malaysia menyedari sepenuhnya akan prinsip-prinsip asas ASEAN,
khususnya prinsip tidak campur tangan antara negara ASEAN.

Walau bagaimanapun, Malaysia percaya bahawa negara-negara anggota ASEAN juga mempunyai tanggungjawab untuk
mematuhi prinsip-prinsip antarabangsa mengenai penggalakkan dan perlindungan hak asasi manusia seperti yang
terkandung di dalam Piagam ASEAN dan Perisytiharan Hak Asasi Manusia ASEAN.

Tegas Anifah, semangat komuniti ASEAN, yang meletakkan sasaran ke arah rantau ASEAN yang aman, selamat dan
stabil, mempunyai pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berkongsi kemakmuran dan kemajuan sosial, harus menjadi
panduan kepada semua.

Malaysia sentiasa bersedia untuk membantu Myanmar dalam mencari penyelesaian yang saksama, segera dan
berpanjangan bagi isu yang telah berlarutan di wilayah Rakhine itu. – MalaysiaGazette