Serangan di Karak Castle yang mencederakan dua pelancong Malaysia

Dua daripada 20 orang pelancong Malaysia yang berada di Karak Castle, Bandar Karak, Jordan tercedera di dalam serangan petang semalam.

Bandar Karak terletak kira-kira 132 kilometer ke selatan ibu kota Amman.

Wisma Putra dalam satu kenyataan di sini hari ini memaklumkan, kedua-dua pelancong yang mengalami kecederaan itu telah menerima rawatan di hospital berdekatan dan dilaporkan selamat.

Manakala 18 yang lain telah diselamatkan oleh pasukan keselamata Jordan dan kini sedang diberi pelindungan dan bantuan daripada pihak berkuasa negara tersebut.

Semalam, satu serangan telah dilakukan ke atas Karak Castle melibatkan kejadian tembak-menembak dengan menyaksikan seorang pelancong Kanada serta beberapa anggota polis Jordan terbunuh manakala yang lain dilaporkan tercedera.

“Kedutaan Besar Malaysia di Amman telah berhubung dengan pihak berkuasa Jordan yang mengesahkan kesemua pelancong Malaysia berada dalam keadaan selamat.

Kedutaan juga telah mengeluarkan peringatan kepada semua rakyat Malaysia terutama para pelajar di Universiti Mu’tah berhampiran Bandar Karak untuk mematuhi semua arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan oleh Kedutaan sendiri,” katanya.

Sehingga kini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab ke atas serangan tersebut.- MalaysiaGazette