Home Ekonomi Operasi Eaglexpress tidak digantung

Operasi Eaglexpress tidak digantung

Pesawat Eaglexpress

Kementerian Pengangkutan menafikan syarikat penerbangan sewa Eaglexpress Charter Sdn Bhd (Eaglexpress) digantung operasinya.

Timbalan Menterinya, Datuk Abdul Aziz Kaprawi memaklumkan Eaglexpress telah dipanggil oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berhubung masalah penerbangan yang membabitkan kumpulan jemaah haji baru-baru ini.

“Mavcom telah panggil syarikat penerbangan itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung masalah yang dihadapi Eaglexpress sehingga menjejaskan jemaah umrah.

“Dan, Mavcom diberitahu penerbangan terpaksa ditunda kerana Eaglexpress tidak mendapat permit mendarat daripada Kerajaan Arab Saudi,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Abdul Aziz menambah, Mavcom dimaklumkan Kerajaan Arab Saudi mempunyai syarat-syarat dan peraturan teknikal yang ketat bagi penerbangan sewa atas sebab-sebab  keselamatan.

Syarikat penerbangan itu menjadi perhatian kerana menyebabkan beberapa kumpulan umrah Malaysia tidak dapat mengerjakan ibadah tersebut atas sebab yang sama.

Beberapa media tempatan melaporkan kegagalan Eaglexpress itu mengakibatkan ada jemaah yang terpaksa membiayai tiket penerbangan lain demi memastikan dapat menunaikan hasrat mereka.

Eaglexpress juga dipercayai menghadapi masalah kewangan apabila kakitangannya mendakwa tidak menerima gaji asas sejak dua bulan lalu, selain elaun sejak awal tahun ini.

Malah, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pekeso juga masih belum dilunaskan sejak lebih setahun.

Baru-baru ini, MalaysiaGazette melaporkan lebih 50 orang kakitangannya di Jeddah yang kebimbangan kerana terpaksa berada di sana meskipun visa dalam kalangan mereka telah tamat tempoh.

Mereka dijadualkan pulang ke Malaysia bulan lalu tetapi tertangguh selepas syarikat itu tidak memperoleh permit mendarah.

Kakitangan syarikat penerbangan itu mendakwa mereka akan dibawa pulang ke Malaysia pada awal Januari ini. – MalaysiaGazette

Comments are closed.