Ahmad Zahid Hamidi

Penjawat awam digesa menunjukkan peningkatan produktiviti dan prestasi dalam perkhidmatan selaras dengan tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perlu ada timbal balas apabila tuntutan dibuat yang boleh disifatkan sebagai faktor penerima dan penolak.

Jelasnya, sebarang permintaan juga perlu mengikut kesesuaian dan munasah mengikut situasi semasa.

“Niat yang kita lakukan bukan hanya untuk meminta dan menekan sesuatu pihak. Harus adalah faktor penerima dan penolak.

“Dan apabila kita meminta dan menekan dalam keadaan air yang semakin surut dan kering.

“Jadi pabila kita hanya pandai meminta dan tidak berterima kasih kepada yang memberi, kita akan kufur nikmat Allah SWT.

“Ini kerana rezeki kita bukan kerana banyak tetapi walaupun sedikit ada manfaat dengan memperoleh cara halal dan bukan dengan prestasi dan perkhidmatan yang tidak baik biarpun rezeki banyak,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Kongres Tritahunan Cuepacs ke-27 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot Jaem dan Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut meminta penjawat awam memberi sokongan berterusan buat kerajaan biarpun terdapat perbezaan pendapat.

Secara kiasan, beliau berkata, penjawat awam sebagai anak, manakala ibu bapa sebagai pihak kerajaan.

“Sebagai anak, tidak sepatutnya ikut sekali ‘sepak kaki dan ketuk kepala ibu bapa’ kalau ada orang lain yang buat begitu.

“Walaupun berbeza pendapat, anak tetap perlu hormat dan membela ibu bapa jika ada yang sepak kaki dan ketuk kepala mereka,” katanya. – MalaysiaGazette