Jadual TTA yang dikeluarkan oleh PLUS kepada pengguna lebuh raya untuk perayaan Krismas tahun ini.

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan sempena sambutan Hari Krismas dan Tahun Baru 2017 yang akan datang berdasarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan.

Jadual TTA juga merangkumi perjalanan orang ramai yang ingin bercuti atau kembali semula ke Lembah Klang sempena sambutan cuti perayaan tersebut bermula 23 Disember 2016 sehingga 3 Januari 2017.

Jadual TTA terdiri daripada cadangan perjalanan berperingkat mengikut masa dan destinasi tertentu dari Lembah Klang ke negeri-negeri dan bandar-bandar utama di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Langkah ini bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza-plaza tol dan kawasan rehat pada waktu-waktu puncak.

PLUS berkata, jadual TTA memainkan peranan yang penting dalam membantu orang ramai merancang perjalanan mereka.

Dalam kenyataan di sini, PLUS menjangkakan jumlah kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan akan meningkat sebanyak 14 peratus iaitu sebanyak 1.6 juta purata kenderaan sehari pada waktu puncak menjelang cuti perayaan Hari Krismas dan Tahun Baru 2017 berbanding dengan hari biasa iaitu sebanyak 1.4 juta kenderaan.

Ini kerana hari cuti tersebut bersambung dengan hari minggu dan cuti sekolah hujung tahun,” kata Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Hj Abd Hamid. – MalaysiaGazette