Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Ulangtahun ke-20, Rapid KL LRT Laluan Ampang di Stesen LRT Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 22 DISEMBER 2016.

NORLAILI ABD RAHMAN

KUALA LUMPUR – Langkah Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) mengurangkan pengeluaran minyak mentah kepada 20,000 tong sehari bermula tahun hadapan tidak memberi impak signifikan kepada kewangan kerajaan.

Ini kerana menurut Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani, jumlah tersebut hanya mewakili kurang daripada lima peratus daripada pengeluaran harian syarikat minyak negara itu.

“Ketika ini Petronas mengeluarkan hampir 500,000 tong sehari yang bermakna pengurangan tersebut adalah kurang daripada lima peratus daripada keseluruhan pengeluaran.

Maka impaknya dilihat tidak signifikan,” katanya kepada pemberita selepas samburan ulang tahun 20 tahun LRT Jajaran Ampang di sini hari ini.

Semalam, Petronas mengumumkan akan membuat penyelerasan secara sukarela kepada pengeluaran minyak mentah Malaysia bermula 1 Januari 2017.

Ini adalah sejajar dengan perjanjian terbaharu di antara OPEC dan negara bukan OPEC untuk mengurangkan bekalan global.

Petronas sebelum ini membuat kenyataan akan membayar dividen sebanyak RM13 bilion tahun depan, lebih rendah berbanding RM16 bilion yang dibayar tahun ini.

Tambah Johari, pengurangan pengeluaran global akan membantu meningkatkan harga minyak dunia tetapi ia tidak akan berlaku secara drastik.

Ini kerana negara-negara anggota OPEC hanya mengeluarkan kira-kira satu pertiga daripada pengeluaran minyak global.- MalaysiaGazette