Home Nasional Pengurusan Eaglexpress suruh kami bersabar – kakitangan

Pengurusan Eaglexpress suruh kami bersabar – kakitangan

Pesawat Eaglexpress

KUALA LUMPUR – Kakitangan Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd yang berada di Jeddah masih tidak tahu tentang nasib mereka kerana syarikat penerbangan itu memaklumkan akan membuat rayuan kepada Suruhanjaya Penerbangan Awam (Mavcom).

Menerusi notis kepada kakitangan, pengurusan Eaglexpress memaklumkan syarikat itu akan memulakan perkhidmatan umrah pertama dengan jenama sendiri Al-Fajr mulai esok.

Sehubungan itu, Eaglexpress akan membuat rayuan bagi meminta Mavcom mempertimbangkan semula pembatalan Lesen Perkhidmatan Udara (ASP) yang berkuatkuasa hari ini.

Oleh itu, pengurusan Eaglexpress mahu semua kakitangannya bersabar.

Sumber memberitahu MalaysiaGazette, dalam situasi sekarang moral kakitangan Eaglexpress semakin menurun.

“Kita di sini sudahlah tidak mendapat gaji lagi, visa pula sudah tamat. Tiba-tiba dengar berita ini (pembatalan lesen) memang terperanjat. Hanya Allah yang tahu perasaan kami di sini,” katanya dengan nada sedih.

Tambahnya, sebelum mendapat berita mengejutkan itu, kakitangan di sini semua gembira kerana dimaklumkan Eaglexpress sudah mendapat permit mendarat.

“Saya sudah bersorak sebab tidak sabar mahu balik ke Malaysia,” ujar beliau.

Ditanya mengenai visa kakitangan Eaglexpress di Jeddah yang telah tamat tempoh, beliau berharap Eaglexpress segera menyelesaikannya untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Tetapi, sehingga hari ini, beliau dan rakan-rakannya yang visa sudah tamat tempoh belum mengisi sebarang borang atau borang lanjutan.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Malaysia (NUFAM) Ismail Nasaruddin berkata, pihaknya memandang berat isu visa.

“Kalau visa sudah tamat dan masih berada di sana kesannya besar kepada kakitangan, apatah lagi kalau mereka tidak mengisi borang lanjutan.

“Sekiranya kita mengambil senario kes terburuk, apa akan berlaku jika mereka ini terpaksa pulang ke Malaysia melalui pesawat komersial yang mewajibkan pemeriksaan imigresen dan sebagainya.

“Kalau apa-apa permasalahan timbul, siapa yang akan ke depan,” tambahnya. – MalaysiaGazette