Datuk Mustapha Yaakub

Kerajaan perlu menarik balik lesen Universiti Islam Antarabangsa Madinah (MEDIU) selepas dua pelajarnya ditahan disyaki terlibat dengan ISIS baru-baru ini.

Penahanan itu membuktikan MEDIU menjadi sarang kepada ejen gerakan ISIS di IPTS dan ia sangat merbahaya.

Setiausaha Agung Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub menegaskan, MEDIU

bukannya IPTS yang menjadi cawangan kepada Universiti Islam Madinah tetapi ianya satu IPTS yang dibiayai oleh pihak luar yang berselindung di sebalik nama Universiti Islam Madinah.

“Oleh itu, Veteran mendesak kerajaan khususnya KPT supaya dengan segera menyiasat status MEDIU dan kepatuhan pihak MEDIU mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan termasuk pengambilan pelajar dan subjek yang ditawarkan dan diajar di MEDIU.

“Veteran tidak mahu MEDIU menjadi sarang pembiakan gerakan ISIS dan ajaran Wahabi di negara ini. Veteran mahu kerajaan menyedari akan bahayanya Wahabi dan hubungan Wahabi dengan ISIS,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mustapha, tindakan membanteras ISIS tidak bermakna sekiranya Wahabi dibiarkan bebas berleluasa menyebar fahaman mereka.

“Veteran amat bimbang pendokong Wahabi yang sekarang telah bertapak dalam UMNO, JAKIM, Majlis-Majlis Ugama Islam, media serta dalam jabatan kerajaan dan kementerian akan menjadi bom jangka yang menunggu masa untuk meletup,” kata Mustapha.

Oleh itu, Veteran UMNO mendesak kerajaan bertindak segera secara bersepadu dan jangan ada disatu pihak berusaha keras membenteras ISIS manakala dipihak lain membiarkan Wahabi berkembang.

Veteran UMNO juga mendesak Kementerian Pengajian Tinggi, Majlis Agama Islam Selangor dan Sultan Selangor mengambil tindakan tegas keatas MEDIU termasuk menarik balik lesen IPTS yang diberi dan menutup MEDIU daripada beroperasi.–MalaysiaGazette