Home Nasional 3.9j pengguna terjejas sudah dapat bekalan air semula

3.9j pengguna terjejas sudah dapat bekalan air semula

KUALA LUMPUR – Bekalan air telah pulih sepenuhnya di semua kawasan yang mengalami gangguan bekalan air akibat henti tugas separa Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 berikutan kerja-kerja penyenggaraan TNB di Pencawang Masuk Utama Bukit Badong pada 19 Disember 2016 sejak pukul 1 tengah hari semalam.

Bekalan air kepada pengguna secara berjadual mengikut dua zon telah menyegerakan pemulihan bekalan air, kata Air Selangor.B

Namun, beberapa kawasan di Gombak seperti Taman TAR, Ampang Jaya, Kg. Dato Mufti, Menara Mutiara Taman TAR dan Taman Bukit Indah sedang mengalami gangguan bekalan air sementara berikutan kes paip pecah di kawasan berhampiran.

Segala usaha sedang diambil untuk memperbaiki paip-paip tersebut dan mempercepatkan pemulihan di kawasan-kawasan ini.

Insiden paip pecah ini adalah kejadian terasing dan tidak berkaitan dengan gangguan bekalan air di kawasan-kawasan yang terlibat dengan Pemulihan Berjadual.

Pemantauan ke atas sistem bekalan air akan diteruskan untuk memastikan kuantiti air mencukupi dan tekanan air yang optimum di paip-paip utama serta paras air di kolam-kolam memuaskan.

Pengguna dinasihatkan untuk sentiasa menggunakan air secara berhemat.

Air Selangor mengucapkan terima kasih kepada semua pengguna air di atas kesabaran sepanjang tempoh gangguan bekalan air. – MalaysiaGazette