Tentera Myanmar menguasai Rakhine dan pedalaman bersempadan dengan Bangladesh sejak 9 Oktober lalu. Foto CNN

Tentera Myanmar telah menguasai Rakhine dan pedalaman bersempadan dengan Bangladesh sejak 9 Oktober lalu apabila lelaki bersenjata menyerbu pondok polis dan membunuh sembilan pegawai.

Mayat tanpa kepala seorang penduduk Muslim Rohingya ditemui selepas mangsa dipercayai bercakap dengan kumpulan wartawan dalam lawatan media dengan pengawasan Myanmar di utara Negeri Rakhine.

Polis tidak memaklumkan motif pembunuhan lelaki yang berusia 41 tahun itu.

Mayat mangsa ditemui terapung di sungai.

Mangsa dikatakan telah bercakap dengan sekumpulan wartawan pada Rabu lalu di perkampungan Ngakhura.

“Keluarga memaklumkan kehilangan lelaki itu Khamis lalu selepas diwawancara oleh sekumpulan wartawan,” kata Kolonel Polis, Thet Naing di bandar Maungdaw yang mengesahkan penemuan mayat itu.

Pejabat Presiden yang mengesahkan kematian lelaki yang bernama Shu Nar Myar, menyebut lelaki itu telah menafikan cerita tentang kezaliman tentera semasa bercakap dengan wartawan.

Dua wartawan Myanmar yang enggan mendedahkan identiti mereka mengesahkan telah mewawancara lelaki itu pada Rabu lalu.

Lawatan wartawan negara itu dianjurkan oleh Myanmar selepas Aung San Suu Kyi menerima tekanan agar membenarkan akses kepada zon konflik tersebut.

Tentera Myanmar telah menguasai Rakhine dan pedalaman bersempadan dengan Bangladesh sejak 9 Oktober lalu apabila lelaki bersenjata menyerbu pondok polis dan membunuh sembilan pegawai.

Sekurang-kurangnya 34,000 Rohingya Islam telah melarikan diri ke Bangladesh apabila perkampungan mereka di bakar, wanita dirogol dan kanak-kanak serta kaum lelaki dibunuh dan diseksa oleh pasukan keselamatan Myanmar.