Anina Saadudin

KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) belum menubuhkan lagi sayap Srikandi, sekali gus menjawab dakwaan Anina Saadudin kononnya beliau dipecat dari jawatan ketua sayap parti itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh menjelaskan, penubuhan sayap parti di semua peringkat adalah di bawah bidang kuasa MPT mengikut Perkara 21 Perlembagaan PPBM.

Justeru, katanya kedudukan Anina yang dirujuk pelbagai pihak sebagai Ketua Srikandi PPBM tidak seharusnya timbul.

“Beliau kekal sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaras kegiatan Srikandi sehingga sayap parti ditubuhkan secara rasmi.

“MPT akan menubuhkan Sayap Srikandi dalam masa terdekat setelah segala proses dan prosedur dalaman parti dipatuhi,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anina semalam, yang mendakwa dirinya dipecat dari jawatan Ketua Srikandi berikutan skandal seksnya yang menjadi tular di laman sosial.

Menurut Dr. Shahruddin, Srikandi adalah sayap parti yang penting dan pemilihan Ketuanya perlu dibuat secara teliti setelah pandangan semua pihak diperolehi.

“Diharapkan ahli PPBM terutamanya Srikandi bertenang, merapatkan barisan dan meneruskan usaha untuk mengukuhkan parti demi perjuangan menyelamatkan Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette