Warga asing mengambil kesempatan cuti umum bersiar-siar di sekitar Pasar Seni Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 26 DISEMBER 2016.

Oleh NORLAILI ABD RAHMAN

KUALA LUMPUR – Bagai ditakluk warga asing malah rakyat tempatan sendiri malas ke tempat-tempat yang sering dikunjungi warga asing terutama ketika cuti umum antaranya di kawasan Medan Pasar iaitu sekitar Bangkok Bank, Kuala Lumpur.

Namun bagi pekerja-pekerja yang menjadi sebahagian nadi pembangunan ekonomi Malaysia, di sinilah tempat mereka berhibur dan menenangkan fikiran sambil bertukar-tukar cerita dengan teman-teman yang mungkin sekali sekala sahaja ditemui.

Mereka bebas duduk di situ selama lama yang mereka mahu kerana tempat tersebut tiada gangguan dan yang paling penting percuma.

Malaysia Gazette mendekati seorang warga Nepal yang telah bekerja selama enam tahun di Malaysia.

Devindra
Devindra

Menurut Devindra, meskipun bekerja di Kajang, beliau tetap memilih lokasi seperti Medan Pasar untuk bersantai dan bertemu kawan-kawan apabila tidak bekerja.

Katanya, dia perlu berbelanja dengan berhemah kerana perlu menghantar wang ke kampung halaman.

Menerima gaji kira-kira RM1,500 sebulan, pekerja kilang plastik ini hanya menggunakan RM500 untuk perbelanjaan bulanan bagi menampung kehidupanya setiap hari.

Ini sudah termasuk membeli makanan dan pakaian.

“Saya simpan RM1,000 sebulan dan setiap tiga atau empat bulan sekali, saya hantar wang ke kampung.

“Wang RM500 sudah cukup untuk berbelanja. Saya dan beberapa rakan akan berkongsi untuk membeli bahan mentah dan kami memasak setiap hari. Ini cara kami berjimat cermat. Saya tidak perlu bayar sewa rumah kerana kilang tempat kami bekerja ada menyediakan asrama.

“Saya perlu hantar wang ke kampung,” katanya kepada Malaysia Gazette di sini.

Dalam pada itu, seorang lagi warga Nepal, Himmat berkata, dia hanya makan sehari sekali demi untuk menyimpan hampir 70 peratus gajinya setiap bulan.

Himmat
Himmat

Ayah kepada seorang anak ini bekerja di kilang besi di USJ, Subang Jaya sejak dua tahun lalu.

“Saya mengirimkan wang RM800 sebulan kepada keluarga. Itu sahaja yang saya mampu kerana syarikat saya banyak buat pemotongan.

“Gaji bersih saya kira-kira RM1,250 sekiranya tiada kerja lebih masa. Untuk bekerja lebih masa pula, kami hanya bergantung kepada tempahan pelanggan sahaja.

“Saya hanya memperuntukkan kira-kira RM200 sebulan dan tidak lebih RM210 sebulan untuk membeli makanan.

“Saya hanya masak dan makan sekali sehari sahaja dan sekiranya masih lapar selepas selesai bertugas atau kerja lebih masa, saya hanya akan makan roti dan minum air kosong.

“Saya terpaksa berbuat demikian kerana mahu hantar wang ke kampung,” katanya sambil berlinangan airmata.

Menurut Himmat, dia akan melepak di Medan Pasar setiap kali tidak bekerja sama ada bersama rakan-rakan mahupun berseorangan.

Ketika ditemui Malaysia Gazette, Himmat ketika itu sedang duduk membaca sebuah buku berkenaan makanan yang boleh menyembuhkan penyakit yang ditulis dalam bahasa Nepal.- MalaysiaGazette