Home Ekonomi BNM ambil tindakan ke atas sebuah institusi kewangan

BNM ambil tindakan ke atas sebuah institusi kewangan

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia telah mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 terhadap sebuah institusi kewangan kerana gagal memaklumkan kepada Bank Pusat dengan segera mengenai dapatan audit yang signifikan berhubung dengan salah laku peniaganya, yang melibatkan penetapan kadar pertukaran USD/MYR.

Tindakan itu bagi memenuhi obligasi pelaporan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, khususnya keperluan untuk segera memaklumkan apa-apa penemuan yang penting kepada Bank Negara Malaysia.

Bank Negara Malaysia dalam kenyataan berkata, dapatan menunjukkan wujud komunikasi dengan pedagang daripada institusi kewangan asing lain termasuk rujukan yang tidak sewajarnya terhadap proses penghantaran penetapan kadar.

“Berhubung dengan hal ini, Bank Negara Malaysia telah memulakan proses wajar (due process) di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013,” katanya.

Bank Negara Malaysia mengambil serius akan pelanggaran pelaporan seperti ini, terutamanya penglibatan institusi kewangan dalam pasaran NDF ringgit luar pesisir atau apa-apa aktiviti yang berkaitan ke arah manipulasi pasaran.

Menurutnya, Bank Negara Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya terhadap mana-mana institusi kewangan lain yang melanggar peruntukan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Tindakan penguatkuasaan termasuk mengenakan penalti monetari, mengeluarkan arahan pematuhan secara bertulis, memberi amaran awam dan mengeluarkan arahan pematuhan secara bertulis untuk megurangkan atau menyelesaikan pelanggaran terhadap peruntukan tersebut. – MalaysiaGazette