Mohd Nor Hamzah

Pas Terengganu meminta kerajaan negeri menyemak semula jumlah bayaran balik pengambilan tanah bagi Projek Bypass Kuala Terengganu.

Ketua Penerangan Pas negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, ini kerana jumlah pampasan yang diberikan kerajaan negeri kepada penduduk terbabit dianggap sedikit berbanding kedudukan tanah, rumah ataupun kedai mereka yang dikategorikan di kawasan bandar.

Menurut beliau, masalah utama dihadapi kebanyakan penduduk ialah kegagalan mereka menukar status tanah masing-masing sebelum projek itu bermula.

“Tidak dinafikan akan kadar yang berbeza disebabkan status tanah itu, tetapi atas sikap prihatin, kita merayu bagi pihak penduduk agar dipertimbangkan semula permohonan ataupun bantahan mereka.

“Sebagaimana ucapan ADUN Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut pada sidang DUN Pembentangan Bajet 2017 baru-baru ini, kerajaan melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyatakan tetap mengutip cukai walaupun dikatakan pengubahsuaian rumah kedai di kawasan itu melanggar peraturan.

“Oleh itu, kita minta kerajaan negeri bertolak ansur kepada rakyat dengan jumlah pampasan ini. Penduduk kampung tidak dapat mendiami tanah mereka lagi selepas ini.

“Jika pampasan yang diberikan terlalu sedikit, bagaimana mereka mahu mendapatkan sekurang-kurangnya tanah baharu dan rumah bagi kediaman? Mereka terpaksa berpindah dalam keadaan tidak ada tapak bagi membina rumah,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurut Mohd Nor, dengan musim persekolahan yang bakal bermula minggu depan, juga atas bebanan peningkatan harga barang secara menyeluruh di negara ini, Pas yakin dan percaya jumlah pampasan lebih tinggi serta bersesuaian akan meringankan sedikit bebanan penduduk ini.

Katanya, Terengganu adalah kerajaan negeri yang dikategorikan sebagai kaya, mana mungkin boleh mengurangkan perbelanjaan dan mengurus tempat menarik seperti Tasik Kenyir serta Zoo Kemaman bagi melaksanakan tanggungjawab itu.

“Kita berpandangan semua perbelanjaan bagi tempat itu adalah tidak penting, berbanding dengan kepentingan penduduk,” katanya. – MalaysiaGazette