PAN Kelantan sudah membuat ramalan awal pertandingan tiga penjuru

Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan menjangkakan 32 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu akan berlaku pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) ini.

Tiga penjuru yang dimaksudkan oleh PAN itu ialah parti dari Pakatan Harapan (PH) melawan  Pas dan UMNO dari Barisan Nasional (BN).

Sama ada ramalan itu betul atau tidak, UMNO dan BN Kelantan tidak boleh memandang remeh.

Penulis meletakkan peratusan yang tinggi kemungkinan akan berlaku pertandingan tiga penjuru.

Ini berdasarkan keengganan Pas untuk bergabung dengan PH sebagaimana diminta oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) baru-baru ini.

Pas kata, parti itu akan bersendirian bersama rakan gabungannya, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dalam Gagasan Sejahtera (GS), tetapi sejauhmana kekuatan Pas untuk berdepan dengan lawannya dari BN dan PH?

Memang benar Pas pernah bersendirian, tetapi itu sekitar tahun 1970-an. Selepas itu, Pas tidak pernah lagi berkeseorangan.

Tahun 1990, Pas bergabung dengan Parti Melayu Semangat 46 (S46) – sudah dibubarkan – dan beroleh kemenangan besar sehingga berjaya merampas Kelantan dari kerajaan BN.

Begitu juga pada PRU 1995, 1999, 2004, 2008 dan 2013, Pas masih kekal mempertahankan Kelantan kerana parti itu tidak pernah berlawan berseorangan. Rakan gabungan baharu selepas S46 ialah PKR dan DAP menerusi pembentukan Pakatan Rakyat (PR).

Walaupun Pas sudah keluar dari PR dan membuat keputusan untuk tidak bersama dengan gabungan baharu melalui PH, tidak dapat tidak, Pas akan berdepan dengan cabaran sengit, yang bukan calang-calang lawan dari BN dan PH.

Menurut Pengerusi PAN Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, parti itu dengan rakan gabungan PPBM dan PKR sudah membuat perkiraan untuk meletakkan calonnya di semua 45 kerusi DUN.

Pada PRU 13, Pas menang 32 kerusi, manakala BN pula 12 kerusi DUN. Kebarangkalian, 32 kerusi yang dimenangi Pas itu bakal berlaku pertandingan tiga penjuru pada PRU 14 ini dengan 13 kerusi lagi satu lawan satu.

Tiga penjuru yang dimaksudkan kemungkinan BN lawan Pas lawan PAN, atau BN lawan Pas lawan PPBM atau BN lawan Pas lawan PKR. Kelantan tidak mempunyai kerusi untuk DAP.

PAN telah memberi isyarat jelas, bahawa parti yang berusia satu tahun tiga bulan itu tidak akan kompromi lagi dengan Pas, malah akan memberi ruang kepada PKR dan PPBM untuk berbincang pengagihan kerusi untuk bertanding pada PRU14 nanti.

Hasil perbincangan itu, PKR akan diberikan lapan kerusi untuk bertanding iaitu empat kerusi baharu yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PH (PKR) dengan BN dan empat lagi kerusi sedia ada termasuk kerusi tunggal dimenangi PKR iaitu DUN Guchil (Parlimen Kuala Krai), DUN Nenggiri dan Paloh (Parlimen Gua Musang) serta Pengkalan Kubur (Parlimen Tumpat).

Empat kerusi sedia ada itu dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara (PH) yang diwakili PKR melawan Pas melawan BN. Pada PRU 13, tiga daripada empat kerusi ini dimenangi calon BN iaitu Nenggiri, Paloh dan Pengkalan Kubur.

PPBM pula akan diberikan sebanyak sembilan kerusi DUN yang semuanya dimenangi UMNO (BN) dan dikatakan mampu menggugat undi tegar UMNO selepas parti itu berpecah.

Antara kerusi DUN itu ialah Ayer Lanas, Bukit Bunga dan Kuala Balah (Jeli), Dabong dan Galas (Gua Musang), Semerak dan Selising (Pasir Puteh), Gual Ipoh (Tanah Merah) dan Kok Lanas (Ketereh).

Bagaimanapun, entah atas dasar semangat setiakawan atau sifat tamak, baki 32 kerusi DUN lagi diambil oleh PAN dengan alasan PPBM tidak ada kekuatan untuk mengalahkan kubu kuat Pas dan BN.

Kerusi yang diambil oleh PAN Kelantan, menurut Wan Abdul Rahim akan berlaku pertandingan tiga penjuru dengan Pas dan BN.

DUN berkenaan ialah Kota Lama, Tanjung Mas dan Bunut Payong (Kota Bharu); Demit, Salor dan Pasir Tumboh (Kubang Kerian); Tawang, Jelawat dan Perupok (Bachok); Pasir Pekan, Wakaf Bharu dan Kelaboran (Tumpat); Pengkalan Pasir, Chetok dan Tendong (Pasir Mas).

DUN lain ialah Meranti, Gual Periok dan Bukit Tuku (Rantau Panjang); Bukit Panau dan Kemahang (Tanah Merah); Temangan, Kemuning dan Pulai Chondong (Machang); Gaal dan Limbongan (Pasir Puteh); Mengkebang dan Manik Urai (Kuala Krai); Panchor, Chempaka dan Kijang (Pengkalan Chepa); serta Melor dan Kadok dalam Parlimen Ketereh.

Dengan ‘pembahagian’ kerusi itu yang dianggap ‘adil’ itu, selesailah bagi pihak PH. Mereka tidak perlu gelabah lagi jika Dewan Rakyat dibubarkan nanti, sebab masing-masing sudah ada kerusi untuk bertanding. – MalaysiaGazette