Pesawat Eaglexpress

Kakitangan Eaglexpress Air Charter Sdn. Bhd. (Eaglexpress) menaruh harapan syarikat penerbangan itu mengotakan janji untuk membawa mereka balik ke Malaysia pada 30 Disember ini.

Selain visa kebanyakan kakitangan sudah tamat tempoh, mereka juga tidak dibayar gaji asas sejak Oktober lalu, sekali gus memberi tekanan kepada pekerja untuk berada di negara orang.

Seorang kakitangan Eaglexpress berkata, mereka dimaklumkan syarikat itu sedang menunggu kelulusan akhir daripada jabatan penerbangan awam Jeddah supaya dapat membawa keluar kakitangan dan sebuah pesawat 747 milik syarikat penerbangan itu ke Malaysia.

Katanya, pesawat Boeing milik Eaglexpress itu sudah pun dicat dengan warna putih, tiada lagi dengan logo seperti sebelum ini.

“Kami sudah enam bulan di sini, bila tidak dapat gaji hidup semakin tertekan. Sekarang ini bangun tidur kami semua menghitung jam untuk balik ke Malaysia. Apa-apa pun kami hendak keluar dari sini dan tiba di Kuala Lumpur dengan selamat.

“Selepas itu barulah kami akan panjangkan setiap permasalahan termasuk tunggakan gaji, elaun, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pekeso dengan majikan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pekerja Eaglexpress memberitahu, mereka sungguh bersyukur kerana insiden kumpulan jemaah umrah yang terkandas tempoh hari telah membuka mata semua pihak terlibat dalam industri penerbangan negara.

Ini kerana, sejak bulan Mac lalu mereka menghadapi masalah tunggakan gaji asas dan pelbagai bayaran lain yang tidak dilunaskan oleh syarikat penerbangan itu.

“Namun siapa hendak dengar suara kami. Tetapi apabila kumpulan jemaah umrah terkandas, ia diberi liputan besar-besaran, sekurang-kurangnya ia berbaloi kepada kami,” katanya sambil mendakwa pihak pengurusan menyalahkan kakitangan kerana membesar-besarkan isu syarikat kepada pihak luar.

Eaglexpress, sebuah syarikat penerbangan sewa telah dibatalkan Lesen Perkhidmatan Udara oleh Suruhanjaya Penerbangan Awam (Mavcom) pada 20 Disember lalu.

Kata kakitangan itu, Eaglexpress juga tidak lagi membawa jemaah untuk syarikat penerbangan Saudi Airlines kerana syarikat penerbangan Arab itu telah menghentikan semua penerbangan yang melibatkan Eaglexpress. – MalaysiaGazette