Iskandar Abd. Samad

KUALA LUMPUR – Pendirian PAN mahu bertanding di 40 kerusi Parlimen termasuk milik PKR dan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) membuktikan parti itu tidak amanah, kata Datuk Iskandar Abdul Samad.

Portal FMT melaporkan, Naib presiden PAS itu berkata jika PAN menghormati sekutunya dalam Pakatan Harapan, parti itu tidak akan sesekali “mencuri” kerusi PKR.

“Saya baca kenyataan semalam PAN hendak bertanding 40 kerusi termasuk milik PAS dan PKR, dengan sendirinya menunjukkan sikap sebenar PAN.

“Mereka bersama dalam PH, tapi nak curi kerusi PKR. Ini bermakna segala apa yang kami cakap sebelum ini tentang PAN, benar semuanya.

“Sebab itu kita tak panggil Amanah, kita panggil PAN. Kalau duduk dalam Pakatan pun dia nak curi, saya tak nak komen apa lagi,” katanya pada sidang media pelancaran kempen “PAS Pilihanku” di Ibu Pejabat parti itu hari ini.

Semalam, Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad berkata parti itu mahu bertanding di 40 kerusi Parlimen, termasuk milik PKR dan PAS pada PRU depan.

Khalid berkata pemilikan kerusi tradisi yang dipertahankan sesama parti pembangkang tidak lagi relevan dengan senario politik hari ini.

“Ia akan dibincangkan dalam mesyuarat PH dan PPBM. Apa yang penting senario politik hari ini sudah berubah. Tidak seperti 2013 (PRU13).

“Kita tidak boleh jadikan 2013 sebagai asas untuk pembahagian kerusi. Kita alu-alukan kenyataan PKR yang menyatakan kesediaan mereka serahkan kerusi kepada PPBM,” katanya.