Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melakukan gimik perasmian pada Majlis Perasmian The 6th International Cyber Resilience Conference (CRC2026) di Hotel Bangi Resort, Selangor. Foto SADIQ SANI, 02 SEPTEMBER 2026.

BANDAR BARU BANGI – Kecerdasan buatan (AI) kini menjadi antara senjata baharu paling berbahaya digunakan sindiket jenayah siber kerana mampu menghasilkan mesej penipuan, meniru suara dan mencipta video palsu yang semakin sukar dibezakan daripada manusia sebenar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkembangan AI menjadikan jenayah lebih pantas, murah dan sukar dikesan, sekali gus memerlukan pihak berkuasa meningkatkan penguasaan teknologi sama seperti penjenayah.

Beliau berkata, AI kini mampu menghasilkan mesej penipuan dalam pelbagai bahasa, mengklon suara hanya daripada beberapa saat rakaman audio serta menghasilkan video deepfake yang kelihatan dan kedengaran seperti sebenar.

“AI membantu penjenayah menulis kod berniat jahat dan mencari kelemahan dalam sistem. 

“Jenayah menjadi lebih pantas, lebih murah dan lebih sukar dikesan,” ketika berucap pada pembukaan Persidangan Kebingkasan Siber Antarabangsa Keenam (CRC 2026) di Bangi Resort Hotel, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ancaman itu bagaimanapun mempunyai satu lagi sisi apabila teknologi sama boleh dimanfaatkan pihak berkuasa untuk mengesan corak penipuan, menganalisis transaksi mencurigakan dan meneliti jumlah bukti digital yang besar dalam tempoh lebih singkat.

Menurutnya, AI juga boleh membantu mengesan deepfake, menjejaki wang yang dicuri serta memberi amaran lebih awal sebelum sesuatu serangan berlaku.

“Teknologi sama yang memperkasakan penjenayah turut memperkasakan pihak yang mempertahankan kita. Pihak yang lebih memahami teknologi ini akan menang,” katanya.

Bagaimanapun, Saifuddin menegaskan teknologi tidak boleh menggantikan peranan manusia dalam penguatkuasaan.

“Mesin tidak menyelesaikan jenayah. Manusia yang melakukannya. AI boleh membantu tetapi ia tidak boleh menggantikan pertimbangan, keberanian atau pengalaman.

“Sekiranya penjenayah menguasai AI lebih pantas berbanding pihak berkuasa, Malaysia berisiko ketinggalan dalam menangani ancaman tersebut walaupun mempunyai teknologi canggih,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pelaburan berterusan dalam pembangunan modal insan perlu menjadi keutamaan, termasuk melatih pegawai penguat kuasa menggunakan AI, selain meningkatkan kefahaman pendakwa raya dan hakim terhadap bukti digital.

“Agensi kita memerlukan saintis data dan penganalisis, bukan hanya detektif.

“Universiti juga perlu melahirkan graduan yang menguasai keselamatan dan AI,” katanya.

Katanya lagi, pembangunan kemahiran perlu dilaksanakan pada skala nasional kerana teknologi AI sendiri berkembang pada kadar yang pantas.

“Modal insan adalah barisan pertahanan pertama kita. Kita mesti meningkatkan kemahiran rakyat pada skala nasional,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here