Shaharuddin Badaruddin
Shaharuddin Badaruddin

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) belum berbincang dengan komponen parti berhubung pengagihan kerusi bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Naib Presiden PKR, Dr. Shaharuddin Badaruddin berkata, sehingga kini parti komponen iaitu PKR, DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) belum mengadakan perjumpaan bagi hal itu.

Katanya, apa yang dinyatakan oleh Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad bahawa parti itu telah mengenal pasti 40 kerusi Parlimen untuk dipertandingkan, adalah kenyataan peribadi semata-mata.

“Pengagihan kerusi belum ada lagi. Kalau PAN hendak 40 kerusi, itu belum muktamad. Setiap pengagihan perlu melalui perbincangan bersama dalam PH.

“Selagi belum ada perbincangan, sesiapa pun boleh mengatakan hendak meletakkan calon di mana-mana kerusi dan berapa jumlah yang mereka mahu kerana keputusan muktamadnya adalah melalui PH,” katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Khalid kelmarin, yang mendakwa sudah mengenal pasti 40 kerusi Parlimen untuk dipertandingkan dan kawasan itu dikatakan termasuk yang dimenangi PKR dan Pas.

Khalid dilaporkan membuat kenyataan itu, selepas kecewa dengan kenyataan pemimpin PKR yang memberi syarat kepada PAN jika hendak bertanding perlu bergabung dengan PKR.

Menurut Dr. Shaharuddin, PH kini mengambil langkah berhati-hati untuk meletakkan calon kerana tidak menolak kemungkinan akan berlaku pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan Pas.

“Kita akan letakkan calon berdasarkan kebolehmenangan seseorang calon itu. Ini kerana, Pas tidak termasuk dalam PH dan sudah tentu mereka juga akan meletakkan calon boleh menang, termasuk juga BN di kerusi sama,” katanya. – MalaysiaGazette