Iskandar Abdul Samad

MANZAIDI MOHD AMIN

SHAH ALAM – “Ada pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) mengecam saya kerana telah menyifatkan hasrat parti itu untuk bertanding di kerusi PKR sebagai tidak amanah,” kata Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Beliau berkata, apa yang didakwanya menerusi kenyataan balas terhadap Pengarah Komunikasi, Khalid Abd. Samad adalah kerana mereka berada dalam pakatan yang sama.

Katanya, hasrat merampas kerusi PKR itu telah disuarakan oleh Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

“Sehubungan itu, saya telah digesa agar tidak mencampuri urusan parti tersebut.

“Oleh kerana kenyataan (Khalid) untuk bertanding di kerusi PKR dibuat secara terbuka, adalah tidak wajar untuk menghalang sesiapa membuat ulasan kepada satu kenyataan yang dibuat secara terbuka itu.

“Jika tidak mahu sebarang ulasan terhadap hasrat tersebut, tidak perlu membuat kenyataan secara terbuka. Bincanglah secara dalaman,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Bagaimanapun, menurut Iskandar, rakyat sekarang menjadi semakin keliru apabila seorang lagi pemimpin tertinggi PAN yang telah membuat kenyataan balas, kononnya parti itu tidak akan bertanding di kerusi PKR.

“Mungkin ia satu tindakan ‘damage control’, tetapi terserlah kecelaruan yang wujud di kalangan kepimpinan tertinggi PAN.

“Oleh itu, tidak hairanlah terdapat pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mahu PAN dibubarkan dan ahlinya diserapkan dalam parti lain,” katanya. – MalaysiaGazette