Aksi berani seorang remaja memanjat kren setinggi 30 meter di Ipoh.
IPOH – Aksi ngeri seorang remaja memanjat kren setinggi kira-kira 30 meter (90 kaki) di tapak pembinaan sebuah bangunan berhampiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini beberapa hari lalu mencetuskan kontroversi.

Aksi remaja lelaki itu dirakam sendiri olehnya dengan memasang kamera dipercayai ‘GoPro’ di badannya.

Syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah berkenaan Sycal Ventures Berhad membuat laporan polis berhubung kejadian itu pagi ini.

Pengurus Besarnya, Mohd Pauzi Mat Isa berkata beliau hanya menyedari kejadian itu bila terlihat video berkenaan di You Tube.

“Pengawal keselamatan di tapak projek itu juga akan disiasat,” kata Mohd Pauzi ketika dihubungi.

Video berdurasi 1 minit 22 saat itu menunjukkan remaja itu merakam aksi memanjat kren digunakan untuk pembinaan bangunan Pusat Konvensyen Ipoh (ICC).

Sebelum ini, viral gambar dan video aksi sekumpulan remaja lelaki dan perempuan memanjat papan tanda ‘IPOH’ di sini turut tersebar.

Remaja itu dirakam berbaring di dalam buaian yang dipasang pada kerangka tiang papan tanda itu.

Laporan polis juga dibuat berhubung kejadian itu.

Polis berkata, kejadian disiasat di bawah seksyen 336 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga bulan atau denda RM500 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

— BERNAMA