Annuar Musa

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa kecewa dengan reaksi pihak tertentu yang memperlihatkan ‘kegembiraan’ mereka dengan krisis yang berlaku dalam The Red Warrior (TRW).

“Rupanya ramai yang cukup gembira bila melihat TRW bermasalah… tidak hairan kalau lawan yang gembira, tapi ada juga ‘kawan’ yang tumpang gembira nampaknya,” kata beliau sinis.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pihak berkenaan, tidak terlalu gembira dengan permasalahan dihadapi TRW kerana pasukan itu bakal bangkit semula.

“Bagi yang menganggap atau mengharap TRW hilang dari persada liga, mereka bakal kecewa. Kita tidak akan membiarkan itu terjadi,” tegasnya menerusi laman sosial Facebook beliau, semalam.

Menurut Annuar, KAFA akan melipatgandakan usaha dengan mengambil segala pengalaman yang berlaku sebagai pedoman dan sempadan.

Ujarnya, belilau tetap akan membantu TRW sehingga berjaya membentuk pasukan yang sesuai untuk bersaing di tahap liga super.

“Kita akan pastikan TRW tetap mampu membawa tiga lagi pemain import. Walaupun tanpa perlu berbelanja besar, tidak bermakna kita tidak boleh mendapatkan pemain antarabangsa yang baik.

“Beri masa sehari dua lagi, Insya-Allah ada sesuatu yang menggembirakan anda yang setia dan sedikit mengecewakan bagi mereka yang mahu melihat kita gagal,” tegasnya.

Beliau berharap, pemain dan pegawai KAFA bersiap sedia, bukan saja esok masih ada, malah esok yang lebih cerah bagi TRW 2017.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh mendedahkan, ada usaha dalam kalangan pihak berkenaan hendak jadikan masalah yang berlaku pada TRW dan KAFA sebagai polemic peribadi.

“Saya tidak berminat. Saya sedar saya hanya seorang “rakyat” biasa. Terlalu kecil, terlalu daif. Penghinaan demi penghinaan dilemparkan. Saya terima dengan berlapang dada dan tidak akan memanjangkannya.

“Malah, saya hairan bagaimana kenyataan saya yang berniat menyokong telah disalah ertikan begitu rupa. Tidak mengapalah… biar kita yang mengalah,” kata Annuar.

Menurutnya, beliau akan cuba tumpukan untuk membantu pasukan TRW sekadar mampu bersama pihak lain yang pastinya juga turut membantu.

“Doa saya agar pasukan Kelantan terus bersaing di Liga Super. Lagi dihina, rasanya lagi rasanya lagi bersemangat membantu walaupun tanpa jawatan sekalipun,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa simpati dengan anggota Exco KAFA yang beriya hendak berjumpa Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub, tetapi dimaklumkan perjumpaan itu dibatalkan.

“Kesian Exco KAFA, beriya nak jumpa orang besar, tau-tau tak jadi. Dahlah masa suntuk, nampak sangat (kerajaan negeri) tidak serius membantu,” katanya. – MalaysiaGazette