KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Awam (Mavcom) telah mengeluarkan surat amaran kepada Ritz Airlines Berhad supaya berhenti memasarkan perkhidmatan serta mengiklankan syarikat itu sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial

Sehingga kini, Ritz Airlines tidak mempunyai sebarang Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) atau Permit Perkhidmatan Udara (ASP) yang sah, sama ada yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) atau di bawah Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3).

Ini bermakna, Ritz Airlines tidak boleh meminta, menuntut, menerima atau mengutip sebarang bayaran, pertimbangan, ganjaran atau faedah yang diperolehi daripada operasi perkhidmatannya atau dari mana-mana pihak; ini juga termasuk lain-lain aktiviti untuk membawa melalui udara atau menggunakan mana-mana pesawat bagi membawa penumpang, mel atau kargo.

Mavcom dalam kenyataannya berkata, berdasarkan satu artikel berita, Ritz Airlines merancang untuk memulakan operasi pernerbangan mulai Februari 2017 dengan menawarkan tiket pergi dan balik berjumlah RM2,950.

Oleh itu, Ritz Airlines mungkin telah disalahtafsir oleh khalayak ramai sebagai sebuah syarikat penerbangan yang dibenarkan untuk beroperasi sedemikian melalui artikel tersebut.

“Mavcom telah mengeluarkan surat amaran kepada Ritz Airlines untuk berhenti memasarkan perkhidmatan serta mengiklankan syarikat itu sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial,” kata Mavcom.

Tegas Mavcom, sebuah entiti penerbangan adalah diwajibkan untuk mempunyai, antara lainnya, ASL atau ASP yang sah untuk membawa melalui udara atau menggunakan mana-mana pesawat bagi membawa penumpang, mel atau kargo untuk sewa atau upah dalam perjalanan berjadual atau tidak berjadual di antara dua tempat atau lebih, di mana sekurang-kurangnya salah-satu tempat tersebut adalah Malaysia.

Mavcom dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) juga telah menasihati ejen-ejen pelancongan yang menawarkan pakej umrah serta penumpang penerbangan yang merancang untuk membuat ibadah umrah supaya berwaspada apabila membuat urusan perjalanan umrah mereka.

Mavcom dan MOTAC telah menerima maklumat bahawa Ritz Airlines telah menandatangani Perjanjian Memorandum Persefahaman bersama Marwa Vacations untuk mengendalikan sebanyak 32 penerbangan umrah (Kuala Lumpur-Jeddah; Kuala Lumpur-Madinah).

Dalam pada itu, MOTAC sedang menyiasat Marwa Vacations kerana syarikat ini tidak dilesenkan oleh kementerian tersebut.

Semua perniagaan pengendali pelancongan dan agensi pelancongan (tiket) adalah dikehendaki oleh Akta Industri Pelancongan 1992 untuk memperoleh lesen di bawah MOTAC.

Beroperasi tanpa lesen merupakan kesalahan dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Mavcom dan MOTAC juga ingin menggesa pengguna supaya lebih berwaspada apabila membuat sebarang pelan penerbangan dan perjalanan bagi memastikan mereka tidak menghadapi sebarang kesulitan dalam mengerjakan ibadah umrah mereka. – MalaysiaGazette