Hari ini pengisytiharan Bagan Datuk sebagai sebuah daerah ke -12 di Perak telah disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk pengisytiharan bersejarah itu memberi ‘kegembiraan’ kepada penduduknya.

“Saya secara peribadi juga mengucapkan terima kasih kepada tuanku kerana berkenan dan sudi mencemar duli mengisytiharkan Bagan Datuk sebagai daerah,” ujarnya semasa majlis pengisytiharan itu di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, rakyat Perak juga mengucapkan tahniah kepada Sultan Perak kerana dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertuan Agong baru-baru ini.

Sementara itu, menurut arahan kerajaan Perak, mulai hari ini daerah baharu itu dikenali dengan Bagan Datuk dan bukan lagi Bagan Datoh.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, ia diputuskan dalam persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 22 November lalu.

Bagan Datuk sebelum ini merupakan kawasan di daerah Hilir Perak. –MalaysiaGazette