Banjir yang melanda sejak bermulanya tahun ini akibat hujan lebat telah menjejaskan hampir satu juta penduduk di 12 wilayah di selatan Thailand dan melumpuhkan sistem pengangkutan.
BANGKOK – Jumlah mangsa banjir di selatan Thailand yang terkorban akibat bencana itu meningkat kepada 21 orang dengan dua lagi masih hilang, demikian menurut Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi hari ini.

Banjir yang melanda sejak bermulanya tahun ini akibat hujan lebat telah menjejaskan hampir satu juta penduduk di 12 wilayah di selatan Thailand dan melumpuhkan sistem pengangkutan.

Lapangan terbang di Nakorn Si Thammarat, yang terletak di satu daripada wilayah yang teruk terjejas masih ditutup sejak Jumaat apabila landasan kapal terbang dilanda banjir manakala perkhidmatan kereta api ke selatan juga dihentikan.

“Lapangan terbang itu akan ditutup untuk penerbangan sehingga Rabu,” kata pengurus lapangan terbang Suksawas Sukhawannon hari ini sambil menambah sebahagian daripada landasan kapal terbang masih ditenggelami air dan beberapa lampu navigasi tidak berfungsi.

Sebelum ini, pihak berkuasa merancang untuk membuka semula lapangan itu esok.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tanasak Pathimaprakorn memberitahu pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai sektor pelancongan bahawa para pegawai akan melawat kawasan selatan Thailand untuk menilai kerugian yang dialami sektor pelancongan.

Para pegawai tidak dapat menilai kerugian akibat bencana itu kepada industri pelancongan di selatan Thailand kerana keutamaan sekarang adalah bagi menyelamatkan nyawa berikutan banjir yang belum surut.

“Kami perlu membantu rakyat terlebih dahulu, kerana mereka yang berada di kawasan terjejas merupakan kunci kepada industri pelancongan,” katanya sambil menambah industri pelancongan kekal sebagai tunggak utama ekonomi Thailand dengan 32.59 juta pelancong melawat negara ini tahun lepas.

Tanasak berkata kerajaan tahun ini mensasarkan pendapatan daripada industri pelancongan mencecah 2.7 bilion baht (RM1=7.9Baht) tahun ini.

Menteri Sukan dan Pelancongan Kobkarn Wattanwarangkoon yang menghadiri mesyuarat itu berkata kementeriannya tidak menerima sebarang laporan pembatalan daripada pelancong yang merancang untuk melawat selatan Thailand.

— BERNAMA