Abdul Rahim Hassan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Mahkamah Sesyen Shah Alam. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 9 JANUARI 2017.
SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, menetapkan 13 hingga 17 Mac untuk perbicaraan kes rasuah melibatkan tertuduh, seorang bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN NASIONAL).
 
Tarikh itu ditetapkan Hakim Asmadi Hussin selepas mahkamah merekodkan pengakuan tidak bersalah Datuk Abdul Rahim Hassan yang dituduh menerima dan meminta rasuah dari syarikat Pasadana Sdn. Bhd. pada 2015.
 
Mahkamah juga menetapkan 8 Februari ini sebagai tarikh pengurusan kes.
 
Abdul Rahim menghadapi dua pertuduhan rasuah yang dibaca secara bersama mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
 
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.
 
Mengikut kertas pertuduhan, pada 13 Januari 2015, kira-kira jam 8.30 malam hingga 9 malam, tertuduh didakwa meminta suapan berjumlah RM36,000 daripada hasil kutipan hutang lapuk TEKUN Nasional dari syarikat Pasadana Sdn. Bhd.
 
Bagi tuduhan kedua pula, beliau pada 15 Januari 2015, telah menerima suapan RM36,000 daripada Abdul Muhsin Abdul Rahmah sebagai dorongan untuk mempercepatkan proses bayaran tuntutan syarikat berkenaan.
 
Perbuatan itu dilakukan di lobi Kelab Shah Alam kira-kira jam 9 malam.
 
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aida Adha Abu Bakar dan Wan Ahmad Nizam Wan Omar.
 
Semalam, media melaporkan SPRM menahan seorang bekas Pengarah Urusan dan CEO TEKUN Nasional bergelar ‘Datuk’ kerana disyaki menerima rasuah.
 
Suspek berumur 62 tahun itu ditahan di kediamannya di Bukit Bandaraya, Shah Alam pada jam 5.15 petang. – MalaysiaGazette