Home Utama Malaysia dapat kuota asal haji

Malaysia dapat kuota asal haji

TUMPAT – Kuota jemaah haji Malaysia dikembalikan kepada jumlah asal iaitu 27,800 orang mulai tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, kerajaan Arab Saudi telah mengembalikan kuota berkenaan selepas penarikan balik pengurangan kuota jemaah haji sebanyak 20 peratus terhadap jemaah asing yang dikuatkuasakan pada 2013, dengan kuota jemaah haji Malaysia berkurangan kepada 22,230 orang.

“Malaysia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana mengembalikan kuota asal jemaah haji tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 45 surau dan tujuh masjid dalam Parlimen Tumpat yang terlibat banjir di sini, hari ini.

Sumbangan tersebut adalah pemberian Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Yayasan Takwa. Setiap surau memperolehi RM500 manakala masjid mendapat RM2,000. – MalaysiaGazette