Anina Saaduddin

KUALA LUMPUR – “Beri saya sedikit masa…,” pinta Anina Saadudin kepada media selepas diminta memberi ulasan pertemuannya dengan Penasihat parti itu, Tun Dr. Mahathir Mohamed semalam.

Beliau berkunjung ke pejabat Tun Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya dipercayai untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kedudukannya dalam PPBM.

“Beri saya masa untuk buat (kenyataan) ‘dari hati’,” katanya ringkas.

Beliau digugurkan dari jawatan Ketua Srikandi oleh pengurusan tertinggi PPBM berikutan dakwaan terlibat dengan skandal seks.

Bagaimanapun, PPBM mendakwa, parti itu belum menubuhkan sayap, tetapi melantik Anina sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM.

Anina antara pengasas PPBM, yang melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan tindakan parti menafikan haknya sebagai Ketua Srikandi.

Dalam pertemuan sejam dengan mantan Perdana Menteri itu, Anina berkata, beliau perlu menyelesaikan beberapa urusan berkaitan hal peribadinya terlebih dahulu, sebelum membuat kenyataan kedudukannya.

Ditanya adakah beliau menceritakan mengenai dakwaan skandal seks yang terpalit pada dirinya, kata bekas ahli UMNO Langkawi itu, Tun Mahathir bukan jenis orang yang mahu mendengar isu berkenaan.

“Kami hanya membincangkan hal yang berkaitan dengan kepimpinan PPBM dan memberi jaminan akan terus berjuang bersama Tun Mahathir,” katanya.

Kelmarin, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Anina dipecat dari jawatan ketua sayap wanita parti itu kerana dikatakan tidak menepati piawaian Ketua Srikandi.

Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat oleh pihak kepimpinan tertinggi parti setelah menilai tahap pimpinan wanita itu.

Namun, bekas Timbalan Perdana Menteri itu menafikan keputusan pengguguran Anina disebabkan masalah peribadi seperti yang tersebar sebelum ini. – MalaysiaGazette