Iskandar Abd. Samad

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) wajar membenarkan himpunan menyokong pindaan kepada Akta 355 di Dataran Merdeka kerana ia sama seperti perarakan Maulidur Rasul.

Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abd. Samad berkata, jika perarakan Maulidur Rasul umat Islam turun beramai-ramai untuk menyatakan rasa kasih mereka terhadap Rasulullah SAW, begitu juga dengan himpunan Akta 355.

“Pada himpunan Akta 355, umat Islam turun hendak menyatakan sokongan mereka ke atas usaha memperkasakan Mahkamah Syariah kerana rasa kasih mereka terhadap agama Islam.

“Kedua-dua perarakan dan himpunan itu adalah cara umat Islam menyatakan komitmen dan kasih mereka terhadap agama,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Iskandar yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor, komitmen untuk melihat Mahkamah Syariah diangkat akan martabatnya.

Jelas beliau, himpunan Akta 355 tidak seharusnya dipolitikkan oleh sesiapa kerana mereka yang turun adalah semata-mata didorong oleh rasa tanggungjawab terhadap Islam.

“Himpunan yang dirancang pada 18 Februari ini tidak sepatutnya menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat bukan Islam kerana pindaan kepada Akta itu tidak melibatkan masyarakat bukan Islam,” jelas beliau. – MalaysiaGazette