Home Ekonomi IPP November kukuh

IPP November kukuh

KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pada bulan November 2016 meningkat lebih kukuh sebanyak 6.2 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Jabatan Statistik dalam kenyataan berkata, pertumbuhan kukuh pada bulan November 2016 dipacu oleh peningkatan indeks yang lebih tinggi  dalam  semua  sektor:  pembuatan (6.5 peratus), perlombongan (4.7 peratus) dan elektrik (9.7 peratus).

Sektor Pembuatan berkembang kukuh sebanyak 6.5 peratus pada bulan November 2016 selepas peningkatan 4.2 peratus pada Oktober 2016.

Peningkatan kukuh ini didorong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam subsektor utama iaitu: Produk Petroleum, Kimia, Getah dan  Plastik (6.1 peratus); Produk Peralatan Elektrik dan Elektronik (8.9 peratus) dan Makanan, Minuman dan Tembakau (10.4 peratus).

Output sektor perlombongan terus berkembang sebanyak 4.7 peratus pada bulan November 2016 selepas mencatatkan peningkatan sebanyak 3.5 peratus yang dicatatkan pada bulan Oktober 2016 berikutan peningkatan 13.2 peratus dalam indeks Gas Asli.

Walau bagaimanapun, indeks minyak mentah menurun sebanyak 1.9 peratus.

Output sektor elektrik meningkat  lebih tinggi sebanyak 9.7 peratus pada bulan November 2016 selepas mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.9 peratus pada bulan Oktober 2016. – MalaysiaGazette