Tan Sri Adenan Satem

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, 72, meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Samarahan di Sarawak kira-kira pukul 1.20 petang Rabu.

Allahyarham memulakan kerjaya politiknya pada 1979 dengan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Muara Tuang selama enam penggal sebelum bertukar ke kerusi Parlimen Batang Sadong sejak Pilihan Raya Umum Ke-11 lalu.

Allahyarham pernah menjadi Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar di peringkat persekutuan pada tahun 2004 sebelum kembali Sarawak untuk bertanding DUN Tanjung Datu.

Beliau dilantik sebagai penasihat khas kepada Ketua Menteri pada 2010 diikuti dengan pelantikan sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas Sarawak pada tahun 2011 setelah berjaya mengekalkan kerusi DUN Tanjung Datu dalam pilihan raya negeri pada tahun berkenaan.

Sebelum menceburi bidang politik, Adenan pernah menjadi wartawan Sarawak Tribune.

Beliau mula menjawat jawatan ketua menteri pada 28 Februari 2014 selepas Tan Sri Abdul Taib Mahmud meletakkan jawatan.-MalaysiaGazette