Home Ekonomi Tiada kempen beri 15 buah Myvi

Tiada kempen beri 15 buah Myvi

Perodua tidak ada kaitan dengan hebahan yang disiarkan di Facebook.

KUALA LUMPUR – Perodua tidak menganjurkan sebarang kempen membabitkan pemberian 15 buah Myvi Perodua seperti yang dihebahkan melalui Facebook atas nama akaun “Perodua Syarikat Malaysia”.

“Kami sama sekali tidak ada kaitan dengan akaun Facebook ini,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales, Datuk Dr. Zahari Husin dalam satu kenyataan di sini.

“Walaupun hebahan itu telah ditarik semula oleh pemilik akaun tersebut, Perodua ingin menasihatkan orang ramai supaya merujuk kepada saluran rasmi untuk sebarang kempen dan promosi yang dijalankan oleh syarikat itu.

Saluran-saluran rasmi termasuk akaun Facebook di bawah “MYPerodua”, laman web rasmi www.perodua.com.my; akaun Instagram (MYPerodua_instagram) dan laman web pelanggan setia (www.ufirst.com.my).

Menurut beliau, pada masa ini, Perodua mengadakan satu kempen jualan “Golden Prosperity Deals”, yang mana Perodua menawarkan penjimatan sehingga RM3, 888 sebulan bagi model terpilih.

Selain itu, Perodua juga mengalu-alukan orang ramai mengunjungi “MYPerodua Nation” karnival terbesar Perodua di Aeon Mall Shah Alam pada 20 hingga 22 Januari 2017. – MalaysiaGazette