Home Dunia Lelaki dibaham harimau ketika mencari daun kelapa sawit

Lelaki dibaham harimau ketika mencari daun kelapa sawit

SUMATERA – Seekor harimau Sumatera menyerang seorang lelaki sehingga mati di Taman Negara Smbilang, di Pulau Sumatera.

Mangsa diserang secara ganas sehingga kesan gigitan haiwan itu kelihatan di seluruh tubuhnya.

Pegawai taman itu, Afan Absori berkata, ketika kejadian mangsa yang dikenali sebagai Sudir bersama empat rakannya sedang mengutip daun-daun kelapa sawit untuk digunakan membuat atap.

Mereka sedang meninggalkan Taman Negara Sembilang lewat petang apabila mangsa yang berusia 25 tahun tiba-tiba menjerit ketika harimau menerkamnya.

“Mereka menyaksikan harimau itu menghampiri Sudir. Rakan-rakannya segera melarikan diri untuk mendapatkan bantuan.

“Apabila mereka kembali ke tempat kejadian, harimau yang menyerang Sudir sudah tiada,” kata Absori.

Jurucakap polis, Cahyo Budi Siswanto mengesahkan kematian Sudir dan memaklumkan tubuh mangsa mempunyai kesan gigitan di leher, kaki dan punggung.

Mangsa mati ditempat kejadian.

Cahyo Budi berkata, sekumpulan lelaki itu tidak sepatutnya berada di kawasan itu kerana ia adalah kawasan larangan. – MalaysiaGazette