Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Pas menggesa Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menarik balik kenyataan yang mendakwa sekolah agama adalah ancaman sebenar perpaduan di negara ini.

Sambil menyifatkan kenyataan itu biadab dan tidak memahami sejarah pembinaan negara, Timbalan Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, sejak akhir ini seolah menjadi trend parti bukan Islam memburukkan Islam bagi mendapatkan sokongan politik.

Kata beliau, Islam tidak pernah anti-bahasa dan bangsa kerana semuanya anugerah Allah kepada manusia.

Malah, katanya, Islam menggalakkan belajar bahasa lain, supaya tidak mudah tertipu daripada tipu daya orang asing.

“Tidak ada sejarah pemerintahan Islam yang menutup sekolah bahasa asing. Ini menunjukkan walaupun Islam tidak ada negara, namun ia masih ada penghayatan Islam dalam diri umat Islam.

“Kita mengharapkan Dr. Dominic Lau menarik balik kenyataan beliau itu,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Idris yang juga Pesuruhjaya Pas Perak berkata, kalau atas alasan ada pelajar keluaran sekolah agama ekstremis, umat Islam juga ada hak untuk menuduh pelajar sekolah vernakular, sekolah aliran Inggeris dan kebangsaan melahirkan golongan ekstremis.

“Apakah kita mahu cadang supaya sekolah ini juga dihapuskan? Tentu tidak. Ini adalah kes terpencil.

“Sama seperti pandangan Dr. Dominic yang dianggap tidak menjaga sensitiviti majoriti umat Islam, apakah kita hendak menghukum keseluruhan ahli Parti Gerakan yang lain? Saya yakin masih ramai orang yang rasional dalam Gerakan.

Menurut beliau, Pas berpegang kepada konsep demokrasi dalam pendidikan yang menepati dengan pembinaan tamadun bangsa dan negara.

Ujarnya, Dr. Dominic juga boleh menghantar anak ke sekolah agama atau beliau sendiri boleh belajar kerana tidak ada larangan untuk menimba ilmu di situ. – MalaysiaGazette