PEKAN, 15 Jan -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) beramah mesra dengan pelajar-pelajar cemerlang ketika hadir majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentafsiran Tingkatan Tiga (PT3) 2016 Parlimen Pekan hari ini.? Seramai 146 pelajar cemerlang menerima anugerah atas kecemerlangan peperiksaan.?--fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA?

PEKAN- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai jaguh pusingan U apabila sering mengubah pendiriannya sejak kebelakangan ini termasuk dalam isu pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Najib berkata pada 26 Dis lalu, Dr Mahathir sendiri pernah membuat kenyataan kononnya pemberian BR1M itu rasuah dan salah di sisi undang-undang, namun nadanya berubah sama sekali semalam apabila menyatakan pembangkang sanggup mempertimbangkan pemberian BR1M jika pembangkang menerajui kerajaan nanti.

“Dalam tempoh tiga minggu sahaja beliau tukar pendirian dan buat pusingan U dengan menyatakan sekiranya pembangkang menang mereka sanggup mempertimbangkan pemberian BR1M.

“Kebelakangan ini, Tun Mahathir terlalu banyak buat pusingan U dari segi pendiriannya, jadi kita boleh anggap Tun Mahathir sekarang ini jaguh pusingan U kerana tindakan dan kenyataan bercanggah sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas menyampaikan hadiah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) 2016 serta bantuan ‘Kembali Ke Sekolah’ Parlimen Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Pengurus Besar Yayasan Pahang Datuk Mahmud Mohd Nawawi; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI) Datuk Mohamad Madani Sahari; dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Datuk Abdul Karim Mustafa.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semasa melancarkan parti itu secara rasmi di Stadium Malawati di Shah Alam, malam tadi menyatakan pembangkang bersedia memberikan BR1M kepada rakyat sekiranya pembangkang menerajui kerajaan kelak.

Najib berkata kenyataan itu bercanggah sama sekali dengan pendirian Dr Mahathir sebelum ini apabila kerap mendakwa BR1M merupakan satu bentuk rasuah dan salah di sisi undang-undang atau satu jenayah.

“Kerajaan tak anggap BR1M ini rasuah malah ia tidak banyak berbeza dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang dalam menyalurkan bantuan untuk rakyat.

“Ia sama juga sewaktu Dr Mahathir menjadi perdana menteri apabila menyalurkan bantuan kebajikan dan wang ihsan kepada rakyat Terengganu, malah kita lihat dalam laman sesawang PPBM sendiri ada ruang menyatakan mereka sanggup bantu jika rakyat mahu BR1M,” kata Najib.

Perdana Menteri juga berkata sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjadi pemimpin dalam kerajaan, mereka turut mempertahankan dasar kerajaan memberikan bantuan BR1M itu kepada rakyat.

Najib sekali lagi menegaskan pemberian BR1M itu tidak seharusnya dijadikan bahan politik kerana ia adalah satu usaha murni kerajaan untuk membantu golongan rakyat yang susah di negara ini.

“Asal usulnya pemberian BR1M ini bukan cadangan daripada diri saya tetapi Bank Negara Malaysia. Mereka cadangkan pemberian cara ini lebih baik daripada subsidi minyak dan sebagainya.

“Sejak awal lagi ia bukan berniat politik, tetapi kita hendak bantu rakyat yang layak… tidak sangkut paut dengan pendirian politik,” katanya.

Sementara itu, Najib turut menyifatkan kenyataan Dr Mahathir bahawa pembangkang akan menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) jika pembangkang memerintah sebagai satu ‘omongan’ kosong untuk mengabui pemikiran rakyat.

Najib berkata: “Dia boleh cakap tetapi sebenarnya kita sebagai sebuah kerajaan perlukan hasil, jika kita hapus GST, kita akan kehilangan RM40 bilion setahun, soalnya apa hasil lain boleh gantikannya. (Ini menunjukkan) kita tidak boleh suatu kenyataan yang tidak berpaksi kepada realiti.

“Perkara itu dia tidak sebut, jadi ini hanyalah untuk mengabui hati rakyat dan bermain dengan sentimen sahaja serta tidak berpaut kepada hakikat sebenar,” katanya.

Najib berkata GST telah diamalkan di 120 buah negara dan Malaysia merupakan antara negara yang mengenakan kadar terendah.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata Barisan Nasional (BN) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bersedia mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Adenan Satem.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, beliau akan berunding dengan Ketua Menteri Sarawak yang baharu Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebaik sahaja tarikh pilihan raya kecil (PRK) kerusi berkenaan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“PBB dan BN memang cukup bersedia untuk bertanding dan mempertahankan kerusi itu,” katanya.

Adenan 72, yang merupakan Ketua Menteri Sarawak yang kelima meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan, kira-kira 1.20 tengah hari Rabu lepas.-MalaysiaGazette